Bekas bintang Brazil, Ronaldinho telah kembali ke Camp Nou susulan dilantik sebagai duta kelab itu.

Penyandang juara LaLiga itu mengumumkan bahawa pemenang anugerah Ballon d'Or 2005 itu akan bertindak selaku wakil Barcelona dalam setiap majlis di samping terlibat dalam projek "Legends".

Ronaldinho akan menyertai beberapa bekas pemain Barcelona dalam aksi persahabatan dan perlawanan amal termasuk menghadiri sesi latihan bola sepak anjuran kelab itu di serata dunia.

Dia juga akan memainkan watak penting dalam Yayasan Barcelona yang berkait dengan badan amal Unicef di samping terlibat dalam projek Masia 360 bagi membantu sesi latihan akademi kelab itu.

Bekas pemain berusia 36 tahun itu akan terlibat dalam majlis tandatangan di Camp Nou pada Jumaat.

Dia menyertai Barcelona pada tahun 2003 dan telah menyumbat 94 gol dalam 198 penampilan.