INTER 0 REAL MADRID 1
Eden Hazard diketepikan dalam kemenangan tipis 1-0 Real Madrid ke atas Inter dan Carlo Ancelotti menjelaskan mengapa dia menurunkan Rodrygo yang muncul wira pasukannya.
Madrid lebih banyak berkubu di kawasan sendiri sepanjang separuh masa pertama apabila Thibaut Courtois tangkas menafikan percubaan Edin Dzeko dan Lautaro Martinez dalam pertemuan Kumpulan D, Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.
Bahkan, percubaan tepat pertama pelawat hanya hadir pada minit ke-57.
Rodrygo menggantikan Lucas Vazquez pada minit ke-65 untuk Los Blancos mula menguasai permainan sebelum pemain kelahiran Brazil itu menemui sentuhan pemusnah seminit sebelum memasuki masa kecederaan.
Ketika ditanya mengapa Hazard, yang beraksi selama 66 minit dalam kemenangan 5-2 ketika menentang Celta Vigo hujung minggu lalu tetapi direhatkan dalam pertembungan di Milan, Ancelotti berkata: "Saya bercadang menurunkannya dalam babak kedua tetapi Inter menutup bahagian tengah dengan baik.

"Saya mahu membuka permainan dari sayap, itulah sebabnya saya meletakkan Rodrygo."


Rodrygo belum memulakan sebarang perlawanan di bawah kendalian Ancelotti, tetapi dia kini mencetak dua gol dalam tiga penampilan UCL -- kedua-dua adalah gol kemenangan -- dan Ancelotti tidak rela pemain berusia 20 tahun itu berasa khuatir dengan jumlah minit permainanya dengan membuatkannya tetap fokus untuk beraksi di tahap tertinggi sebaik terpilih.
"Saya berpesan kepadanya bahawa tidak penting berapa minit dia beraksi sekalipun, tetapi ia mengenai cara dia akan bermain," katanya lagi kepada Movistar+.
"Dia banyak membantu Dani Carvajal dan di depan pintu gol pula dia sangat tenang dan mampu menggegar gawang.
"Apabila dia dimasukkan, kami dapat bergerak lebih banyak di bahagian sayap untuk menemui jalan keluar. Saya menyukai corak permainan ini memandangkan dia harus menderita dan kompak. Pasukan ini bukan setakat berkualiti, malah turut memiliki komitmen padu."
Rodrygo pula berkata: "Sudah pasti saya mahu beraksi dengan kerap. Apabila saya berada di padang, saya mampu melakukan sesuatu untuk pasukan.
"Saya mahu beraksi tetapi saya menghormati keputusan jurulatih dan saya akan bekerja keras untuk merebut tempat. Di Real Madrid selalunya sukar."