"Azizul amat berminat dengan basikal, banyak masanya dihabiskan untuk persiapan berlumba," kata bapa Azizulhasni, Awang Muda Embong yang masih meraikan kejayaan anaknya di persada sukan antarabangsa.

Awang, 67, berkata biarpun anaknya hanya menduduki tangga ketiga dan memenangi pingat gangsa bagi acara Keirin yang berlangsung awal pagi tadi, kejayaan tersebut cukup membanggakannya.

"Saya tak pernah fikir, dia (Azizul) sehebat ini... mula-mula saya ingat dia main-main sahaja, tapi bila mula masuk ke Sekolah Sukan Bukit Jalil, dia mula serius dalam sukan berbasikal.

"Semalam, memang saya sangat teruja dan tak dapat nak gambarkan perasaan bila tengok dia berlumba... saya berjaga semalaman untuk tengok dia beraksi di televisyen bersama anak-anak dan cucu," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Nibong Stesen hari ini.

"Azizul ada telefon saya semalam...lama juga kami berbual, dia minta saya doakan yang terbaik buatnya dan dia ada cakap, 'ada peluang untuk menang kali ini, ayah'.

"Saya suruh dia buat yang terbaik dan harumkan nama negara dan buktikan bahawa orang kita mampu berdiri setanding dengan jaguh-jaguh dunia," katanya yang turut merancang untuk membuat kenduri kesyukuran sempena kejayaan anaknya.

Sementara itu, adik Azizul, Mohd Asieff Ieman, 21, berkata pengorbanan abangnya yang berjauhan dengan keluarga semata-mata untuk fokus pada latihan khas untuk Olimpik Rio sejak empat tahun lalu di Melbourne, Australia akhirnya membuahkan hasil.

"Saya memang berbangga dengan kejayaan abang saya, segala usaha kerasnya untuk menebus balik maruahnya pada olimpik lepas memang sangat berbaloi.

"Saya sempat ke Melbourne dan tinggal bersama abang saya selama tiga bulan...memang saya tengok bukan mudah nak cipta kejayaan sebab dia terpaksa menghabiskan separuh masanya untuk latihan.

"Boleh dikatakan kebanyakkan masanya dihabiskan bersama basikalnya, dia akan keluar awal pagi seawal pukul lima untuk menjalani latihan di jalan raya kemudian pada waktu tengah hari hingga petang dia akan menjalani latihan di velodrom dan hanya akan pulang sekitar lapan malam," katanya.

Mohd Asieff berkata Azizul sangat komited dan berdisiplin dalam memastikan beliau dapat mencipta kejayaan pada sukan olimpik tahun ini.

"Pernah satu hari tu, saya bangun pagi...saya cari abang saya, tengok-tengok dia duduk kat garaj kereta sedang kayuh basikal menjalani latihan sendirian...memang dia sangat komited dan sasar pingat pada Olimpik ini.

"Abang saya memang mengamalkan diet yang ketat, dia tak makan nasi dan hanya mengambil protein...hidup dia memang dihabiskan untuk basikal, kalau cuti pun hanya sehari seminggu," katanya.

Mohd Aseiff berkata meskipun berhadapan dengan jadual latihan yang ketat, Azizul tidak pernah merungut dan tidak pernah berputus asa untuk terus memperbaiki kedudukannya dalam Sukan Olimpik.

"Semalam memang kami sekeluarga tengok beramai-ramai, bila abang menang tu memang kami bersorak menjerit kegembiraan...tak tahu nak cakap macam mana, memang rasa tak percaya abang sendiri boleh menang di Olimpik.

"Hari ni, saya hadiri kuliah, ramai yang ucap tahniah...pergi mana-mana orang ucap tahniah, ayah pun tak henti-henti terima panggilan telefon dari kawan-kawannya yang ucap tahniah, macam kami pula menang! tapi memang kami sangat berbangga dengan kejayaan abang," katanya.

Mohd Aseiff yang mengambil jurusan kejuruteraan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Bukit Besi berkata, kegigihan dan kejayaan abangnya turut mendorong minatnya untuk menceburi sukan berbasikal.

"Saya rasa amat bersemangat dan mula meminati sukan berbasikal bila tengok abang saya berlatih dan akhirnya mencipta nama...saya mula fikir nak ambil kursus Sains Sukan selepas habis pengajian diploma ini, saya nak ikut jejak langkah abang," katanya.

Azizulhasni yang dikenali dengan gelaran 'Pocket Rocket Man' berjaya merangkul pingat gangsa selepas tiga kali percubaannya beraksi di pentas Olimpik - Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016.

Dalam perlumbaan akhir acara keirin awal pagi tadi, Azizulhasni mengetepikan juara dunia dari Jerman, Joachim Eilers untuk menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

Azizul melintasi garisan penamat untuk meraih gangsa di belakang juara bertahan Jason Kenny dari Britain dan Matthijs Buchli dari Belanda.