RALF Rangnick menafikan khabar angin tentang perebutan kuasa di antara Harry Maguire dan Cristiano Ronaldo untuk menjadi ketua pasukan Manchester United.

Maguire telah dikritik secara meluas berikutan prestasinya musim ini malah persembahannya juga kurang memberangsangkan, sambil pengaruh besar Ronaldo dilaporkan telah mencetuskan masalah di bilik persalinan.

Laporan di Mirror semalam mengatakan pengurus sementara itu telah menugaskan Ronaldo untuk membimbing pemain muda.

Menurut laporan itu lagi, Maguire berasa terhina dengan tindakan bekas bintang Real Madrid tersebut.
Bagaimanapun, Maguire segera bertindak di Twitter apabila menegaskan dakwaan itu tidak benar disusuli sokongan yang disuarakan Rangnick terhadap pemain antarabangsa England itu.

"Saya perlu mengatakan laporan ini sama sekali mengarut," kata Rangnick kepada pemberita menjelang pertemuan dengan Leeds United, malam esok.


"Saya tidak pernah bercakap dengan mana-mana pemain mengenai kemungkinan pertukaran kapten, Harry sedar sepenuhnya tentang itu, begitu juga Cristiano dan pemain lain. Ini tidak pernah menjadi satu isu buat saya.

"Saya yang memutuskan siapa yang bertindak sebagai kapten dan oleh itu tiada sebab untuk saya bercakap tentang itu dengan orang lain.

"Harry merupakan kapten kami dan dia akan kekal sebagai ketua pasukan kami hingga akhir musim dan tiada apa-apa lagi untuk mengulasnya."