KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak lagi akan memantau prestasi pemain negara berikutan pengasingan badan induk sukan dan unit prestasi tinggi berkuat kuasa serta-merta, kata presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Beliau berkata keputusan itu, yang diambil dalam Mesyuarat Majlis BAM hari ini, akan menyaksikan BAM memberi lebih tumpuan kepada badan induk, pembangunan termasuk negeri, pendidikan jurulatih dan pegawai teknikal, pendaftaran kejohanan untuk pemain senior, muda elit, junior dan negeri serta penganjur acara.

Mohamad Norza berkata unit berprestasi tinggi yang kini berada di bawah skop Yayasan Badminton Nasional dan Akademi Badminton Malaysia (ABM) akan berusaha mencari dana yang mencukupi untuk membantu meningkatkan prestasi pemain menerusi aspek komersial sambil berusaha melahirkan juara dunia dan memenangi pingat emas Sukan Olimpik.

"Pengasingan ini akan memastikan kedua-dua entiti ini (BAM dan unit prestasi tinggi) lebih telus, lebih objektif dan memberikan akauntabiliti," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata unit prestasi tinggi itu kini akan diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutif ABM, Michelle Chai dan terdiri daripada Pengarah Prestasi tinggi BAM, Dr Tim Jones, serta dua Pengarah Kejurulatihan, Wong Choong Hann (perseorangan) dan Rexy Mainaky (beregu) dan akan disokong oleh pasukan pentadbiran, logistik dan kewangan.

Terdahulu, Mohamad Norza menyampaikan insentif BAM berjumlah RM37,500 kepada beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M. Thinaah atas kejayaan bersejarah menjuarai Terbuka Perancis 2022, bulan lalu.

Dalam pada itu, Pearly berharap insentif itu akan memberi inspirasi kepada mereka untuk beraksi lebih baik pada kejohanan akhir tahun ini iaitu Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2022 di Bangkok dari 7 hingga 11 Dis ini.

-- BERNAMA