MALAYSIA 7 TIMOR LESTE 1

Malaysia membawa bekalan selesa untuk aksi timbal balik play-off kelayakan Piala Dunia Qatar 2022/Piala Asia China 2023 apabila mudah menjinakkan Timor Leste 7-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Timor Leste jelas bukan tandingan Harimau Malaya yang berjaya menyaingi lawan di segenap sudut meskipun jentera serangan menjadi topik bualan ketika melakar kemenangan 2-0 ke atas Nepal dalam perlawanan pemanas badan, Ahad lalu.

Pertahanan, La'Vere Corbin-Ong, yang membuat penampilan kedua, membuka akaun jaringannya bersama skuad kebangsaan apabila menanduk masuk hantaran Safawi Rasid pada minit ke-12.

Namun, kem kebangsaan sedikit tersentak dengan kecederaan Syafiq Ahmad yang kemudiannya digantikan oleh Shahrel Fikri Md Fauzi.

Biarpun Safawi gagal menggunakan kesempatan awal untuk menggandakan kedudukan apabila sepakan penaltinya ditampan manakala Shahrel membalas kepercayaan jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, dengan gol kedua.

Dua minit sebelum Malaysia menuju ke bilik persalinan, Norshahrul Idlan Talaha dan Safawi mencetak nama selaku penjaring.

Rentak barisan kendalian Cheng Hoe itu bagaimanapun sedikit kendur pada awal 10 minit babak kedua sehingga memberi ruang kepada ketua pasukan pelawat, Joao Pedro da Silva Freitas, untuk menggegar gawang negara yang dikemudi Farizal Marlias untuk kedudukan 1-4 pada minit ke-52.

Namun, keadaan itu tidak dibiarkan berlarutan apabila Safawi sekali lagi menemui sentuhan penyudah pada minit ke-59 disusuli ketangkasan Farizal yang bertindak cemerlang mengekang satu serangan pantas berbahaya daripada Timor Leste.

Kemasukan dua pemain gantian, Faiz Nasir dan Akhyar Rashid, bermakna Malaysia terus bernafsu untuk memburu gol dan hasilnya, masing-masing meledakkan gol pada minit ke-79 dan 89, sebagai bekalan untuk aksi timbal balik di venue sama, Selasa ini.

"Kami masih kehilangan bola melalui hantaran mudah.

"Saya harap kami dapat tingkatkan lagi hantaran dan keserasian manakala barisan pemain akan pulih tepat pada masanya," kata Cheng Hoe.