Ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan Datuk Ong Kim Swee tidak mengamalkan dasar 'tutup pintu' kepada empat pemain Harimau Malaysia yang mengumumkan persaraan mereka minggu lepas.

Sebaliknya, pintu pasukan itu sentiasa terbuka buat kapten pasukan Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abdul Radzak, S. Kunanlan dan Amirulhadi Zainal sekiranya keempat-empat pemain kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) itu ingin kembali menyarung jersi negara.

Biarpun menghormati keputusan pemain tersebut, Kim Swee berkata ia merupakan satu kerugian kepada negara kerana mereka kini berada di kemuncak prestasi.

"Kita harus menghormati keputusan itu kerana ia adalah hak individu tetapi pintu pasukan ini sentiasa terbuka seandainya mereka ingin menyarung kembali jersi kebangsaan," katanya pada sidang media bulanan skuad kebangsaan di sini, hari ini.

Pada 12 Julai lepas, Safiq yang juga kapten skuad kebangsaan serta Aidil Zafuan mengumumkan persaraan daripada mewakili negara sebelum dua lagi rakan sepasukannya, Kunanlan dan Amirulhadi mengikut jejak mereka dua hari selepas itu.

Kim Swee turut membidas dakwaan latihan skuad negara yang tidak berintensiti tinggi menjadi punca kecederaan pemain selepas pulang daripada kem latihan pusat.

"Sebenarnya bila bercakap mengenai isu ini, kita mempunyai wakil daripada Institut Sukan Negara (ISN) yang setiap masa mengawasi dan mengikuti perjalanan pasukan kebangsaan.

"Saya juga mempunyai laporan penuh dan klip video ketika sesi latihan dan bersedia untuk diserahkan kepada menteri (Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin) dalam masa terdekat," katanya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan skuad Harimau Malaysia akan menghadapi tiga perlawanan persahabatan antarabangsa 'A' mengikut tarikh yang ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Malaysia yang kini berada di ranking ke-167 dijadual bertemu Indonesia (ranking 191) di Surabaya pada 6 Sept disusuli pertemuan dengan Singapura (ranking 158) di Stadium Nasional, Singapura pada 7 Okt dan aksi menentang Afghanistan (ranking 150) di Stadium Shah Alam pada 11 Oktober.

"Pengurusan pasukan sepakat untuk hanya mengadakan satu perlawanan persahabatan pada September supaya pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat bermula 29 Ogos ini tidak terlalu keletihan selepas mengharungi jadual liga domestik yang padat.

"Kami mendapati pemain akan mengharungi enam perlawanan sepanjang Julai (tiga perlawanan Liga Super dan tiga Piala Malaysia) dan lapan perlawanan sepanjang Ogos (empat perlawanan Liga Super dan empat Piala Malaysia)," katanya.

Kim Swee berkata, untuk Oktober pula jadual liga domestik tidak begitu padat dan dua perlawanan persahabatan bertemu Singapura serta Afghanistan boleh dijadikan persiapan terbaik menjelang Piala AFF November ini.

"Bagaimanapun, untuk kem latihan pusat terakhir sebelum ke Piala AFF, kami masih belum memuktamadkan pasukan mana yang akan dihadapi pada November sebelum sepak mula kejohanan pada 19 November," katanya.

Kim Swee merancang memulakan kem latihan pusat terakhir menghadapi Piala AFF pada 23 Oktober iaitu sehari selepas saingan Liga Super berakhir dan pemain yang selesai beraksi pada final Piala Malaysia, akan melapor diri pada 31 Oktober.

Bagaimanapun, jika JDT layak ke perlawanan akhir Piala AFC yang dijadual pada 5 November, pemain dari kelab berkenaan hanya akan melapor diri pada 6 November.

Majlis undian bagi Piala AFF yang dijadual berlangsung dari 19 November hingga 17 Disember akan diadakan di Yangon, Myanmar pada 2 Ogos ini.