KUALA LUMPUR: Keputusan akhir untuk memanggil jaguh perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia menjalani latihan pusat menjelang Piala Thomas 2022 dalam masa terdekat ini akan diputuskan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan percaya BAM akan membuat pengumuman lanjut berhubung perkara berkenaan tidak lama lagi sebagai persediaan menghadapi kejohanan berprestij itu yang berlangsung di Bangkok, Thailand pada 8-15 Mei ini.

"Saya dengar ada (Zii Jia dipanggil sertai latihan pusat), namun maklumat akhir BAM yang akan umumkan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, di sini hari ini.

Zii Jia yang memilih haluan profesional kini menjalani latihan secara sendiri selepas meninggalkan BAM sejak Januari lepas.

Hendrawan dalam pada itu berharap Malaysia yang diundi bersama Jepun, England dan New Zealand dapat menjuarai Kumpulan D sekali gus mempunyai peluang lebih cerah di peringkat kalah mati.

"Kita akan fokus serta berusaha mendapatkan kedudukan terbaik di peringkat kumpulan buat," katanya.

Sementara itu, Hendrawan berkata sesiapa pun yang dipilih menggalas cabaran Malaysia pada saingan Piala Thomas nanti perlu membuktikan mereka layak mewakili negara selain memberi bayangan skuad negara yang bakal bersaing di Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China pada 10-25 Sept depan.

"Saya rasa jika terpilih mereka harus siap, pilihan juga banyak (pemain perseorangan), setiap daripada mereka mempunyai keinginan termasuk pemain profesional Liew Daren...sama ada daripada profesional mahupun BAM, ini kesempatan mereka untuk buktikan kemampuan dimiliki," katanya.

Mengulas mengenai pemain muda meningkat naik China Weng Hong Yang yang muda menewaskan Ng Tze Yong pada suku akhir sebelum muncul juara Terbuka Korea Selatan minggu lepas, Hendrawan berkata mereka akan lebih berhati-hati sekiranya Malaysia berdepan China di peringkat kalah mati.

Katanya, Hong Yang yang menghuni ranking ke-89 itu berpotensi disenaraikan sebagai pemain perseorangan ketiga dari pasukan juara 10 kali Piala Thomas itu.

-- BERNAMA