Juara lima kali, Selangor hampir pasti menempah tempat di final Piala FA 2018 selepas mencatat kemenangan bergaya 4-0 ke atas PKNS FC pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.

Penyerang import, Rufino Segovia muncul wira skuad 'Gergasi Merah' apabila meledak hatrik dengan dua daripadanya dijaringkan dalam tempoh dua minit pada babak pertama sekali gus mendahului senarai penjaring terbanyak kejohanan dengan lapan gol.

Jaringan pertama pemain dari Sepanyol itu hadir pada minit ke-39 selepas menerima hantaran rakan sepasukan sebelum melepaskan rembatan kaki kiri menewaskan penjaga gol pasukan pelawat, Tauffiq Ar Rasyid Johor.

Segovia sekali lagi menggamatkan suasana dengan gol keduanya pada minit ke-40 selepas bijak melepasi perangkap 'offside' untuk melepaskan rembatan kencang sekali gus memberikan kelebihan dua gol buat Selangor pada separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Segovia terus mempamerkan aksi bertenaga dan hasilnya hantaran pertahanan D.Kugan daripada sebelah kanan berjaya disempurnakan Segovia untuk meledak gol ketiganya pada minit ke-56.

Selangor yang kali terakhir menjulang Piala FA pada 2009 terus menggasak kubu pertahanan PKNS FC sebelum berjaya melengkapkan kemenangan 4-0 menerusi jaringan sendiri Azmizi Azmi pada minit ke-64.

Sementara itu, juara 2014, Pahang menempah laluan berliku selepas hanya mencatat keputusan seri 1-1 berdepan PKNP FC pada aksi di Stadium Darul Makmur.

Pada minit ke-12, pasukan pelawat berjaya membuka tirai jaringan menerusi Ahmad Sukri Ab Hamid yang melepaskan rembatan kencang untuk menewaskan penjaga gol, Mohd Helmi Eliza Elias.

Tersentak dengan gol itu, skuad Tok Gajah bangkit dengan melancarkan beberapa siri serangan ke arah kubu PKNP FC. Wan Zaharulnizam Wan Zakaria akhirnya menyamakan keputusan buat Pahang apabila melakukan lambungan bola cantik yang terus masuk ke gawang PKNP FC pada minit ke-24.

Pada separuh masa kedua, Pahang dilihat lebih agresif untuk menokok jaringan bagi membawa bekalan selesa apabila beraksi di tempat lawan, namun keputusan 1-1 kekal sehingga wisel penamat ditiupkan.

Aksi separuh akhir kedua membabitkan pertemuan PKNS FC dan Selangor akan berlangsung pada Sabtu depan, sementara aksi PKNP FC menentang Pahang berlangsung pada Ahad.

-- BERNAMA