KUALA LUMPUR: Ketua Jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT) yang baharu, Hector Bidoglio gembira dengan aksi luar biasa pemainnya dalam membantu beliau memperoleh kejuaraan sulung, selepas mengambil alih tempat bekas Ketua Jurulatih, Benjamin Mora, Julai lepas.

JDT menjulang Piala FA selepas menumpaskan Terengganu FC 3-1 di hadapan 84,321 penonton yang memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam tadi.

Pengendali dari Venezuela itu amat gembira dengan aksi pasukannya yang memberikan tekanan yang tinggi kepada lawan dan itu sudah tentu membantu pasukan Harimau Selatan untuk memperoleh kejuaraan pertama Piala FA semenjak memenanginya pada 2016 selepas menewaskan PKNS FC, 2-1.

"Sebelum saya datang ke JDT, saya sedar pasukan ini adalah 'pemenang', mereka sering melangkah ke final di Malaysia dan saya rasa bangga untuk membantu JDT memenangi Piala FA malam ini.

"Terima kasih kepada 'boss' kami Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan juga mereka di dalam kelab di atas kepercayaan anda kepada kami," katanya selepas sidang media selepas perlawanan di sini malam tadi.

Pada masa sama, jurulatih berusia 54 tahun ini menzahirkan kekagumannya kepada prestasi penjaga gawangnya, Mohd Farizal Marlias pada aksi final malam tadi selepas beliau berjaya menyekat percubaan berbahaya Kapten Terengganu FC, Kipre Tchetce pada minit ke-25 perlawanan.

"Farizal tidak diturunkan dalam dua perlawanan sebelum ini tapi malam ini beliau mempamerkan kehebatannya sebagai penjaga gol. Beliau bukan sahaja hebat di padang tetapi juga cemerlang di dalam bilik persalinan," katanya.

Bidoglio juga berkata mereka akan bekerja keras untuk memastikan mereka memenangi tiga kejuaraan dengan mempertahankan Piala Liga Super dan menjulang Piala Malaysia tahun ini.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain berkata pihaknya akur dengan kekalahan dialami dan menyifatkan JDT pasukan yang serba-serbi lengkap dengan ramai pemain berkualiti di atas padang.

"Pada malam ini kita dapat saksikan corak permainan penguasaan bola yang selalu kita terapkan semasa berlawan dengan pasukan lain tidak menjadi ke atas JDT.

Ia sememangya sukar untuk diadaptasi pada perlawanan ini kerana mereka (JDT) lebih kehadapan dengan memperkukuhkan corak permainan tekanan tinggi," katanya.

Biarpun tewas, Nafuzi tetap memuji semangat juang dipamerkan Skuad Penyu selain menyatakan masih banyak yang perlu dipelajari anak buahnya khususnya pemain muda untuk melangkah lebih jauh selepas ini.

-- BERNAMA