KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim muncul juara Piala FA selepas menundukkan Selangor FC 6-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Sabtu malam.

JDT yang hadir sebagai juara bertahan menunjukkan permainan lebih tersusun membuka jaringan pada minit ke-26 selepas sepakan percuma Juan Muniz menerjah gawang Selangor FC.

Skuad Harimau Selatan yang tampak selesa dilihat menguasai permainan terus menggandakan asakan ke kawasan Selangor.

JDT melebarkan jaringan sebelum waktu rehat apabila Ariff Aiman hanapi melakukan tandukan cantik pada minit ke-42.

Bersambung babak kedua, Selangor kembali mengatur strategi menyerang sebelum memperolehi gol pertamanya pada minit ke-59 menerusi sepakan deras Alvin Fortes.

Bagaimanapun, selang tiga minit kemudian, Bergson meletakkan JDT selesa di hadapan untuk gol ketiga pasukan itu.

Selangor umpama gagal menemui rentak permainan terus dihukum JDT apabila Muniz meledakkan gol peribadi keduanya pada minit ke-66, menjadikan kedudukan 4-1.

Heberty Fernandes turut melakar nama sebagai penjaring apabila memperolehi gol kelima JDT pada minit ke-76.

Muniz mencipta hatrik selepas tendangan percumanya sekali lagi menerjah gawang Selangor pada penghujung perlawanan.

Lebih manis lagi apabila kemenangan ini membolehkan JDT mencipta hatrik menjuarai Piala FA.