RAIH kejayaan atau lupakan impian.

Melihat kedudukan Kumpulan B ketika ini, Harimau Malaya berada dalam bahaya terlepas tempat ke separuh akhir Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022.

Hanya kemenangan menentang Singapura pada Selasa ini (3 Jan) di Stadium Nasional, Bukit Jalil akan menyelamatkan kempen pasukan kebangsaan dalam kejohanan dilabel 'Piala Dunia ASEAN' itu.

Kali terakhir Malaysia melepasi peringkat kumpulan adalah pada edisi 2018, yang menyaksikan Malaysia meraih naib juara, tewas kepada juara ketika itu, Vietnam 2-3 menerusi agregat di final.

Walaupun saat genting menanti pasukan Kim Pan Gon untuk mengatasi 'The Lions', bagaimanapun pemain sayap kiri V. Ruventhiran berkata rakan sepasukannya dilihat tenang menjelang aksi dengan 'Causeway Derby' itu.

"Kami perlu bijak menentang mereka, raih kemenangan besar dan dapatkan tiga mata. Kami tidak tertekan untuk berdepan Singapura," katanya kepada pemberita pada sesi latihan di sini semalam.

Keputusan seri tanpa jaringan menentang Vietnam di Stadium Jalan Besar, Jumaat lepas menyaksikan Singapura mengumpul tujuh mata dan menempatkan pasukan itu di tempat kedua manakala Malaysia jatuh di tempat ketiga dengan enam mata.

Vietnam yang mempunyai kelebihan perbezaan gol, kekal sebagai pendahulu kumpulan dengan tujuh mata.

Sementara itu, pemain berusia 21 tahun tersebut berkata barisan kejurulatihan mengingatkan mereka supaya tidak melakukan sebarang kesilapan ketika menentang skuad Takayuki Nishigaya itu.

Ruventhiran berkata ketahanan mental pemain juga masih kuat walaupun tewas 0-3 di tangan Vietnam dalam aksi kontroversi di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, Rabu lepas.

Kontroversi tercetus apabila pengadil Jepun, Ryuji Sato menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan tuan rumah dan Muhammad Azam Azmi Murad dilayangkan kad merah pada minit ke-62 selepas pemain muda Terengganu FC itu didakwa mengasari Doan Van Hau di luar padang.

Que Ngoc Hai memanfaatkan sepenuhnya peluang untuk menggandakan kelebihan Vietnam selepas Nguyen Tien Linh meletakkan pasukan di hadapan pada separuh masa pertama dan pasukan tuan rumah menamatkan saingan dengan kemenangan 3-0 hasil jaringan Nguyen Hoang Duc pada penghujung perlawanan.

-- BERNAMA