KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas dengan sasaran utama ialah menjuarai Piala AFF pada hujung tahun ini, kata pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustaffa.

Menurut Mohd Sadek, pemain bola sepak yang mewakili negara juga perlu mempamerkan sifat jiwa yang besar, seiring dengan sokongan yang diberikan oleh Perdana Menteri kepada FAM.

“Dalam sukan ini, jika anda tidak menang, anda tidak mencapai apa-apa. Anda masih belum mencapai KPI.

“Oleh itu, kemenangan dan menjuarai Piala AFF adalah KPI yang utama dan kita perlu memastikan pasukan menjadi juara dalam kejohanan tersebut." ujar beliau dalam temu bual bersama AWANI Pagi pada Rabu.



Beliau berkata demikian sebagai mengulas berkenaan KPI yang perlu ditetapkan kepada pasukan Harimau Malaya susulan peruntukan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada selasa, Anwar mengumumkan peruntukan RM15 juta bagi memperkasakan skuad Harimau Malaya.

Anwar turut berkata, beliau akan mengadakan pertemuan bersama FAM serta secara peribadi akan memantau dan membantu dalam usaha memperkukuh pasukan Harimau Malaya.

Piala AFF 2024 dijadualkan berlangsung pada Disember 2024 hingga Januari 2025.

Kejohanan dwitahunan ini adalah pertandingan bola sepak terbesar di Asia Tenggara, dianjurkan oleh Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).

Dalam perkembangan sama, Mohd Sadek berkata, selain daripada sasaran jangka pendek, FAM juga perlu merangka perancangan yang lebih panjang, termasuk layak ke Sukan Asia dan memastikan pasukan bawah usia negara meraih kejayaan dalam Sukan SEA yang akan datang.