PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya diundi bertemu India dalam perlawanan kedua Pestabola Merdeka 2023 pada 13 Okt di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.

Pada majlis pengundian di sini, perlawanan pertama kejohanan itu adalah di antara Palestin dan Lubnan juga pada 13 Okt untuk menentukan slot final berhadapan pemenang perlawanan kedua yang akan berlangsung pada 17 Okt.

Ketua Jurulatih Harimau Malaya Kim Pan Gon ketika mengulas tentang undian itu berkata beliau dan pasukan menghormati India dan dua pasukan lain yang mempunyai ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) lebih tinggi daripada skuad negara.

"Kami sedar di mana kedudukan kami dalam (ranking FIFA) walaupun kami telah banyak meningkat, kami masih di tangga ke-136 sementara India di tangga 99.

Kami memantau India sejak tahun lepas, mereka mempunyai momentum yang baik (pusingan ketiga kelayakan Piala Asia AFC 2023) dan mereka menang semua (perlawanan Kumpulan D). Kami akan menganalisis pasukan India untuk melakukan persiapan lebih baik (Pestabola Merdeka)," katanya kepada wartawan selepas majlis pengundian itu di sini hari ini.

Berdasarkan rekod pertemuan, Malaysia tewas 2-3 dan seri 1-1 dalam dua perlawanan menentang India pada 2011.

Menurut ranking terkini FIFA, Palestin kini merupakan pasukan teratas yang akan bermain dalam kejohanan melibatkan empat pasukan itu, dengan ranking di tangga ke-96 sementara Lubnan di tempat ke-100.

Pada masa sama, Pan Gon menyasarkan Skuad Harimau muncul selaku juara kejohanan itu dan berharap penyokong Malaysia turun memberikan sokongan padu mereka di Bukit Jalil.

"Walaupun ranking kami adalah lebih rendah dan lawan adalah lebih kuat daripada kami tetapi kami perlu menggunakan kelebihan sepenuhnya (bermain di tempat sendiri). Diharap semua penyokong Harimau Malaya akan datang ke stadium," katanya.

Jurulatih dari Korea Selatan itu juga percaya Pestabola Merdeka 2023 dan dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier1 berhadapan Syria dan China bulan depan akan menjadi platform yang baik sebagai persiapan untuk pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 November tahun ini diikuti kempen Piala Asia 2023 di Qatar Januari depan.

Pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang akan bermula pada November, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Oman, Kyrgyzstan dan pemenang perlawanan penentuan antara Taiwan dan Timor Leste.

Bagi final Piala Asia 2023 dari 12 Jan hingga 10 Feb tahun depan, Malaysia berada dalam Kumpulan E dengan juara dua kali Korea Selatan, Jordan dan Bahrain.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Mohd Firdaus Mohamed berkata mereka telah menyediakan beberapa program termasuk pelancaran Pestabola Merdeka pada 31 Ogos ini dan jerayawara untuk membangkitkan keterujaan terhadap edisi ke-42 kejohanan itu yang kembali selepas 10 tahun tidak dianjurkan.

Untuk rekod, Malaysia merupakan pasukan yang paling banyak menjuarai kejohanan itu sebanyak 12 kali termasuk kejohanan edisi 2013 sejak ia mula dianjurkan pada 1957.

Mohd Firdaus juga percaya Stadium Nasional Bukit Jalil sedia untuk menjadi tuan rumah kejohanan itu biarpun kerja-kerja menggantikan rumput di padang dijangka siap penghujung bulan hadapan.

"Kami mempunyai Pelan B (sekiranya penggantian rumput tidak sempat disiapkan) tetapi kami tidak boleh dedahkan mengenainya," katanya.

Penanaman rumput "Zeon Zoysia" sejak April lepas untuk menggantikan rumput "Cow Grass" yang dianggarkan menelan belanja RM1.4 juta dan ditaja oleh Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

-- BERNAMA