KUALA LUMPUR: Peruntukan sebanyak RM30 juta untuk pembangunan dan pertumbuhan e-sukan di negara ini melalui Belanjawan 2024 menjadi bukti kesungguhan kerajaan menjadikan Malaysia hab e-sukan yang dikenali di rantau ini.

Ketua Yoodo Chow Tuck Mun berkata e-sukan dilihat semakin berkembang, malah terdapat banyak bakat tempatan dan pemain yang berjaya mencipta nama dalam sukan itu.

"Daripada perspektif Yoodo yang telah terlibat dalam e-sukan sejak awal penubuhannya dan membantu membentuk ekosistem menerusi penglibatan aktif, kami berpendapat Malaysia memiliki potensi yang sangat besar dan bakat-bakat hebat untuk bersinar di peringkat global.

"Namun, masih ada yang perlu ditambah baik terutama dari segi pembinaan infrastruktur yang betul, jurulatih pakar, kemudahan dan membina nama untuk Malaysia menjadi hab e-sukan,'' katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebagai contoh katanya, PUBG Mobile Super League - Southeast Asia Fall 2023, satu liga serantau yang diadakan di Malaysia baru-baru ini adalah satu pencapaian yang patut dibanggakan untuk Malaysia dan beliau tidak sabar untuk melihat Malaysia menganjurkan pertandingan atau liga bertaraf antarabangsa tidak lama lagi.

"Kami di Yoodo, sebagai syarikat telekomunikasi digital sepenuhnya yang pertama di Malaysia dengan sokongan kerajaan akan terus komited untuk membangunkan industri dan berhasrat menaikkan nama Malaysia dalam dunia e-sukan," tambah beliau.

Sementara itu, Yoodo sangat teruja apabila mengetahui kerajaan memperuntukkan sebanyak RM20 juta untuk pembangunan belia di negara ini melalui Rakan Muda.

"Kami yakin melalui sokongan kerajaan, serta kerjasama rapat dengan Rakan Muzik di bawah Rakan Muda akan terus dapat memainkan peranan penting dalam pembangunan belia menerusi muzik, e-sukan dan bidang-bidang lain yang memberi peluang kepada kami untuk berhubung dan membangunkan belia di negara ini.

"Kami juga berharap akan dapat terlibat dalam inisiatif Rakan Digital pada tahun 2024 kerana kami ada banyak perkara yang boleh dikongsi serta disumbangkan sebagai salah satu pemain utama dalam e-sukan dan permainan video," katanya.

Dilancarkan pada Januari 2018, Yoodo adalah sebuah penyedia perkhidmatan mudah alihdigital bebas yang menawarkan perkhidmatan mudah alih pertama di negara ini yang benar-benar boleh disesuaikan mengikut keperluan pengguna, telus, fleksibel dan memudahkan pelanggan.

-- BERNAMA