Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di Facebook mengucapkan tahniah kepada pasukan e-sukan Selangor Red Giants (SRG) yang telah mencipta sejarah dengan menjuarai kejohanan Mid-Season Cup Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) 2024 di Esports World Cup yang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi pada Julai lepas.
"Saya zahirkan ucapan tahniah atas usaha gigih pasukan sehingga membuahkan kejayaan yang menjadi kebanggaan buat pasukan dan negeri Selangor, serta melambangkan potensi anak muda Malaysia di pentas e-sukan antarabangsa," katanya yang telah menerima kunjungan hormat daripada SRG pagi tadi.
Perdana Menteri juga berharap Malaysia dan Selangor Red Giants dapat melakar sejarah sekali lagi pada Kejohanan Dunia MLBB M6 yang bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, akhir tahun ini.
Pada 14 Julai lepas, SRG menamatkan kemarau tujuh tahun Malaysia untuk menjuarai aksi antarabangsa e-sukan selepas menumbangkan Filipina Falcons AP Bren Sport 4-3 pada kejohanan Mid Season Cup MLBB 2024.
-- BERNAMA