PERTARUNGAN antara legenda tinju, Mike Tyson dan bekas YouTuber, Jake Paul, mencipta rekod yang cukup menakjubkan.

60 juta isi rumah di seluruh dunia menonton secara langsung pertarungan Paul lawan Tyson.

Acara mega sukan tinju itu mendominasi media sosial dan memecahkan pelbagai rekod sebagai acara yang paling banyak ditonton secara langsung menerusi penstriman.

Sementara itu, hampir 50 juta isi rumah di seluruh dunia menonton secara langsung acara utama Amanda Serrano lawan Katie Taylor.

Pertarungan ini berkemungkinan menjadi acara sukan wanita profesional yang paling ditonton dalam sejarah Amerika Syarikat.



Sementara itu, Amanz melaporkan perkhidmatan Netflix tergendala di beberapa pasaran dunia termasuk Malaysia semalam gara-gara jumlah tontonan yang terlalu tinggi untuk perlawanan antara Tyson dan Paul itu.

"Ketika artikel ini ditulis, kami hanya dapat mendengar audio sahaja dengan video sudah tersekat selama beberapa minit," tulis portal berita teknologi itu.

Menurutnya, di Amerika Syarikat, pengguna melaporkan gangguan penstriman sejak dua jam sebelum itu, dengan aplikasi menyatakan tiada rangkaian internet.

Pengguna di beberapa negara juga melaporkan penstriman tersekat-sekat dan aplikasi tidak responsif.

"Kami yang menggunakan perkhidmatan internet 1 Gbps turut menghadapi masalah visual tersekat-sekat," kata Amanz.

Perlawanan tinju: Netflix tergendala di AS awal pagi Jumaat - Laporan

Katanya, satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah itu ialah dengan tidak menonton secara langsung dan menonton penstriman yang ditampan selama beberapa minit ke belakang.

Tambahnya, gangguan Netflix tersebut hanya melibatkan penstriman langsung perlawanan tinju itu sahaja sementara kandungan lain masih boleh ditonton seperti biasa.