ISKANDAR PUTERI: Kemenangan Johor Darul Ta'zim (JDT) ke atas Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada perlawanan Piala Sumbangsih malam tadi, adalah penting terhadap usaha pasukan itu berhadapan satu lagi musim yang baik, kata Ketua Jurulatih JDT Benjamin Mora.

Walaupun Mora mengakui yang pasukannya tidak menunjukkan persembahan terbaik mereka pada perlawanan malam tadi, namun jurulatih dari Mexico itu optimistik JDT berada pada landasan yang tepat untuk kembali kepada prestasi terbaik mereka, walaupun berhadapan dengan pramusim yang pendek.

"Saya tidak rasa kami berada pada 100 peratus, ini satu permulaan yang bagus tetapi mereka boleh berikan lebih baik lagi. Ia akan jadi satu musim yang bagus, disebabkan mereka bermotivasi, mereka masih kelaparan dan anda boleh lihat bagaimana mereka terus mengasak walaupun selepas kehilangan bola.

"... tetapi tiada pasukan yang 100 peratus pada perlawanan pertama, itu sudah pasti, saya boleh jamin KDA FC juga tidak berikan 100 peratus, JDT belum 100 peratus, tetapi kita akan sampai ke tahap itu tidak lama lagi," katanya pada sidang media selepas perlawanan di sini malam tadi.

Pada perlawanan malam tadi yang berlangsung tanpa penonton di Stadium Sultan Ibrahim, JDT menewaskan KDA FC 2-0, sekali gus mengekalkan kemenangan Piala Sumbangsih buat kali keempat berturut-turut.

BACA: Piala Sumbangsih 2021: JDT pertahan kejuaraan empat kali berturut-turut 

Sementara itu Ketua Jurulatih KDA FC Aidil Sharil Sahak menerima kekalahan malam tadi dengan hati yang terbuka, kerana pasukannya menunjukan semangat juang yang tinggi dalam mengawal serangan JDT di sepanjang tempoh 90 minit.

"Adalah suatu yang biasa apabila bermain di tempat lawan, menentang pasukan yang bagus seperti JDT, yang sentiasa cuba menguasai dan meletakkan tekanan untuk 15-20 minit pertama. Tetapi saya perlu memuji anak buah saya, kerana bermain dengan baik dengan empat pemain simpanan tempatan.

"Tetapi akhirnya, kita perlu terima JDT adalah pasukan yang lebih baik, mereka kuat di laman sendiri dan mempunyai ramai pemain bagus dan juga ramai pemain import berbanding kami, kami tidak ada Renan (Renan da Silva) malam ini, tetapi ia bukanlah alasan, jadi saya perlu menerima kekalahan dan kami perlu bergerak kehadapan dari sini," katanya.

Selepas pramusim yang pendek beliau berkata, proses membina pasukan yang kuat akan berterusan bagi memastikan pasukannya boleh terus bertanding dan mencapai keputusan yang terbaik, pada hujung musim.

"Tentu sekali kami akan lebih baik selepas setiap perlawanan, beberapa pemain dalam pasukan juga kan kembali," katanya.

-- BERNAMA