KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dicadangkan untuk memperkasakan Bahagian Industri Sukan untuk membantu menyelaras antara persatuan sukan kebangsaan (NSA) dan sektor korporat, terutamanya perniagaan berkaitan sukan.

Presiden Persatuan Sukan dan Kecergasan Kebangsaan (NaSFA) Datuk V. Radhakrisnan berkata ia akan membantu NSA mendapatkan penajaan dengan memastikan pendekatan yang betul dan pulangan kepada penaja.

"Bahagian itu boleh memainkan peranan sebagai penghubung antara NSA dan pemain industri dengan mengumpul keperluan, menetapkan petunjuk prestasi utama dan sasaran daripada NSA dan hubungkan mereka dengan penaja yang sesuai. Ini adalah untuk meningkatkan keyakinan ke arah menaja NSA kerana sebahagian daripada mereka tidak mempunyai akaun dan pelan pembangunan yang betul.

"Program Rakan Sukan sebelum ini yang digerakkan oleh bekas Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Ghani Othman bermula dengan baik, tetapi selepas itu sebahagian NSA gagal menyerlah dan tidak mempunyai pelan yang betul, jadi sektor korporat mula menarik diri," katanya kepada Bernama.

Radhakrisnan, bekas Naib Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) berkata jika pemotongan dana semasa untuk Majlis Sukan Negara (MSN) tidak ditangani dengan betul, ia boleh menimbulkan 'masalah' kerana negara sedang bersiap sedia untuk menghadapi tiga temasya sukan utama - Sukan SEA, Asia dan Komanwel - tahun ini.

"NSA dan atlet sedang dalam persiapan yang sangat penting untuk temasya utama, mengurangkan dana sekarang akan menjejaskan prestasi mereka. Saya berharap KBS dan MSN akan melihat semula perkara ini, kerana melainkan ada pihak yang sudi membantu, sukar untuk menyelamatkan sektor sukan kerana bukan mudah untuk mendapatkan tajaan dalam situasi sekarang dalam tempoh yang singkat," tambah beliau.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) Datuk Michael Wong Meng San berkata NSA harus lebih kreatif untuk mendapatkan dana bagi menguruskan atlet dan program pembangunan mereka, dalam situasi yang mencabar sekarang dan bukannya terlalu bergantung kepada pembiayaan kerajaan.

"MASCA selama ini, kami tidak berada di bawah program MSN, tetapi kami masih berupaya untuk menghantar atlet untuk kejohanan. Walaupun atlet kami tidak dibayar elaun bulanan, mereka masih berlatih sendiri demi semangat patriotisme dan cintakan negara.

"Malah sebahagian daripada mereka bekerja sambilan seperti Khairul Naim Zainal, yang bekerja sebagai penghantar makanan dan masih berjaya memecahkan rekod kebangsaan tahun ini. Walaupun kami tidak berada di bawah program MSN, namun MSN masih menghulurkan banyak sokongan kepada kami," katanya.

Michael berkata adalah tidak adil untuk mengkritik MSN bagi pemotongan dana apabila keadaan ekonomi semasa amat mencabar dan keutamaan bagi kerajaan adalah untuk pulih daripada kesan pandemik COVID-19 global.

-- BERNAMA