Pemilihan Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang baharu bakal mengubah landskap sukan bola sepak tanah air secara menyeluruh.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) Izham Ismail berkata perubahan landskap itu melibatkan pengurusan liga yang lebih berkesan, pembangunan akar umbi secara menyeluruh, perkembangan skuad futsal kebangsaan, skuad bola sepak wanita dan bola sepak pantai.

"TMJ (Tunku Mahkota Johor) menjadi calon tunggal bagi perebutan jawatan Presiden dan saya yakin dengan segala manifesto yang telah dinyatakan, beliau mampu melakukannya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah pada Kejohanan Cabaran Antarabangsa Piala Joensa di sini, hari ini.

Izham dalam masa yang sama turut memuji bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa dengan menyifatkan beliau seorang yang berbesar hati.

"Tindakan Annuar menunjukkan keinginan tinggi beliau yang mahu memastikan perjalanan dan kepimpinan FAM dapat berjalan dengan lancar dan enggan mewujudkan 'puak' dalam badan induk itu," katanya.

Sementara itu, berkongsi nada yang sama ialah Presiden PFAM Hairuddin Omar yang menyuarakan hasrat dari sudut pemain agar Tunku Ismail dapat merealisasikan semua manifesto baginda seperti yang telah diuar-uarkan.

Beliau berkata antara manifesto yang paling mencuri tumpuan adalah hasrat Tunku Ismail untuk menambah baik perlembagaan FAM.

"Ia sesuatu yang amat dinanti-nantikan oleh semua peminat bola sepak tempatan dan pastinya penambahbaikkan itu akan mendatangkan kebaikan buat FAM pada masa akan datang," katanya.

Pemilihan pada kongres FAM, Sabtu ini adalah untuk mengisi 17 kerusi iaitu presiden (satu jawatan), timbalan presiden (dua), naib presiden (empat) dan exco (lapan untuk lelaki dan dua bagi wanita).

Seramai 39 perwakilan dan 20 anggota gabungan FAM layak mengundi pada kongres berkenaan.

-- BERNAMA