PERTANDINGAN Sukan Ragbi Super Schools 15-sebelah Bawah 18 tahun iaitu Piala Cabaran Pengerusi Malaysia Airports baharu sahaja melabuhkan tirainya pada 17 Mei 2020 yang lalu. Perlawanan di antara juara dua kali, Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh dan newcomers Maktab Tentera Diraja (RMC) Sungai Besi, yang baharu pertama kali dijemput menyertai pertandingan ragbi elit bawah 18 tahun ini telah mengundang pelbagai sentimen, kontroversi dan emosi dari kedua-dua pasukan dan penyokong tegar. Perlawanan di padang terpaksa dibatalkan dan penganjur telah mengambil inisiatif untuk membawa pertandingan yang sepatutnya berlangsung di atas padang dan membawanya ke alam maya. Ini disebabkan oleh wabak pandemik COVID-19 yang menyebabkan penganjur, pemain, dan penyokong terpaksa bersaing di alam maya bagi menghayati dan membawa pertandingan menjadi sukan untuk rakyat (the people’s sport). Ianya suatu inisiatif yang baik bagi menutup musim ragbi di bawah musim perintah kawalan pergerakan (PKP).

Pra-PKP, RMC telah menewaskan STAR di peringkat kumpulan dengan mata 12-7 pada Febrari 2020 yang lalu, namun di atas kertas, STAR masih mampu menentang dengan hebat pasukan lawan mereka. Pada temasya maya ini, RMC telah dinobatkan sebagai juara buat julung kali saingan mereka, dengan undian sebanyak 39,720 berbanding STAR sebanyak 36,506 undian atau pecahan peratus memihak 52% kepada RMC dan 48% kepada STAR. Pertandingan ragbi ini adalah secara jemputan dan menyaksikan sekolah-sekolah gergasi seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) Perak, Victoria Institution (VI) Kuala Lumpur, Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) Alor Setar, Sekolah Dato’Abdul Razak (SDAR) Seremban dan sekolah berasrama penuh lain meletakkan pertandingan ini dalam kelasnya tersendiri. Pertandingan berprestij ini telah ditaja oleh Malaysia Airports Berhad, pakaian sukan jenama Rhino, Sime Darby, Ford Motors dan banyak lagi syarikat yang mahu melihat potensi pembangunan ragbi di Malaysia diteruskan lagi di persada antarabangsa.

Apakah maksudnya kepada pembangunan sukan ragbi di Malaysia? Bagaimanakah sukan boleh dijadikan sebagai penanda aras sebuah negara yang memiliki rakyat yang berdaya saing dan kompetitif dari segi ekonomi, sosial, pertahanan, dan pembangunan manusia sejagat. Duke of Wellington, Lord Arthur Wellesley, Komander Utama Tentera British pada abad ke-19 telah berkata: “The battle of Waterloo was won on the playing fields of Eton (Peperangan di Waterloo telah dimenangi di padang permainan Eton)”. Iaitu merujuk kepada peperangan British menentang Peranchis di Waterloo, Belgium telah dimenangi dengan kepimpinan dan kepegawaian tentera British yang telah menuntut di Kolej Eton.

Umum mengetahui sekolah-sekolah seperti MCKK dan RMC telah dimodelkan seperti Eton dan Royal Military Academy (RMAS) di Sandhurst, United Kingdom. Asas Pendidikan Malaysia banyak telah dimodelkan kepada sekolah-sekolah di Britain yang menekankan kepada disiplin yang ketat, berdaya-saing, sifat budiman dan kesarjanaan (gentlemen and scholar). Sukan seperti ragbi membawa kepada anak-anak muda bakal pemimpin negara menjadi lebih serba-boleh, tidak mudah menyerah kalah dan jika tewas pun, tetap tewas bermaruah.

Penulis yang kini berada di negara Jepun, melihat pembangunan sukan ragbi Jepun setelah mereka berjaya menganjurkan Piala Dunia Ragbi pada 2019 yang lepas amat menarik minat dari segi latihan fizikal mereka, pembangunan dan diet makanan mereka, serta komitmen dan dana yang telah digemblengkan dari umur semuda usia empat tahun dan ke atas. Pemain ragbi profesional Jepun yang telah didaftarkan adalah seramai 125,000 orang dengan 3,631 kelab ragbi yang rasmi. Pasukan ragbi Jepun di tangga ke tujuh dunia dalam ranking Dunia Ragbi. Jika dibandingkan dengan Malaysia, ianya hanya memiliki seramai 41,050 pemain berdaftar, dalam anggaran 300 kelab rasmi dan di tangga ke 47 ranking dunia. Suatu perbandingan yang sangat menarik untuk melihat sejauh mana perkembangan dan pembangunan sukan di Asia.

Perkembangan sukan ragbi di Malaysia tidaklah sehebat bolasepak, di mana kita dapat saksikan rakyat Malaysia lebih dekat di hati mereka dan lebih mengenali pemain bolasepak berbanding pemain ragbi Malaysia. Malah, gaji dan elaun pemain ragbi pun masih jauh lebih rendah daripada pemain bolasepak kita. Namun, jika kita saksikan perkembangan sukan ragbi seperti kelab Saracens Kuala Lumpur, ianya adalah antara model terbaik dalam mencari bakat-bakat baharu dalam sukan ragbi. Kelab-kelab lain seperti Cobra, KL Tigers juga merancakkan lagi arena pembangunan akar umbi sukan ragbi negara. Apa yang menariknya kelab-kelab ini berfungsi dengan dana daripada tajaan syarikat persendirian, tajaan keluarga serta minat ibubapa dalam melihat perkembangan fizikal dan mental anak mereka, lebih-lebih lagi dengan penggunaan gajet sepert telefon pintar dan gaming yang tidak terkawal dapat mengalih perhatian mereka dalam sukan yang menekankan kepada semangat kesukanan, setiakawan dan persaingan yang sihat. Model seperti ini bersifat komuniti dan lebih membawa kepada pembangunan secara organik, kerana komuniti itu sendiri bergerak tanpa bantuan sepenuhnya daripada kalangan Yang Berhormat mahupun suntikan Kerajaan. Bagaimanakah kita dapat melihat ianya dikekalkan dan juga ditransmisikan kepada pembangunan lain? Penulis berpendapat, sukan-sukan seperti ragbi dan sukan fizikal lain harus menjadi agenda ibubapa yang mahukan anak mereka cergas dan cerdas dalam kehidupan seharian mereka. Bukan sahaja bakat-bakat baharu dapat dicungkil malah sistem sokongan dalam industri sukan itu turut boleh membawa anak-anak kita menjadi saintis sukan, penganalisis, perunding diet pemakanan (dietician), jurulatih profesional mahupun semi-profesional, pengadil perlawanan dan banyak lagi peluang-peluang yang boleh menjana kepakaran mereka bukan sahaja di Malaysia malah di luar negara.

Suatu contoh terbaik adalah warganegara Malaysia, saintis sukan Encik Mohd Firdaus Maasar telah ditawarkan peluang pekerjaan di Akademi Aspire di Qatar di mana sebelum itu beliau telah pun berkhidmat di kelab bolasepak terkemuka Liverpool, merupakan testimonial kepada peluang-peluang yang luas terbentang untuk anak muda Malaysia yang ingin mengembangkan bakat mereka bukan sahaja sebagai pemain, mahupun saintis sukan tetapi juga sebagai pelopor kepada sistem sokongan industri sukan dunia.

Melihat kembali kepada saiz fizikal pemain ragbi seperti Maktab Tentera Diraja semasa perlawanan menentang Victoria Institution dan STAR pra-COVID-19, penulis berpandangan dengan diet yang betul, latihan kecergasan dan jurulatih yang terlatih, tidak mustahil kata-kata Duke of Wellington boleh menjadi inspirasi di mana: “the battle of COVID-19 was won on the fields of Sungai Besi (peperangan COVID-19 telah dimenangi di padang Sungai Besi”), tempat lahirnya pemimpin. Iaitu mencari idea-idea anak-anak muda dan cara baharu dalam norma baharu dunia.



*Afdal Izal Md Hashim merupakan calon Ijazah Kedoktoran di Graduate School of International Relations, International University of Japan, Niigata, Jepun.


**Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.