TOKYO: Ikon bola sepak Jepun, Kazuyoshi Miura telah menyertai semula Atletico Suzuka untuk pinjaman kedua daripada kelab J2, Yokohama FC, umum kelab divisyen keempat itu pada Selasa, lapor agensi berita Kyodo.


Ringkasan AI
  • Kazuyoshi Miura, ikon bola sepak Jepun, kembali menyertai Atletico Suzuka untuk pinjaman kedua dari kelab J2, Yokohama FC.
  • Pada usia 57 tahun, Miura merupakan bekas penyerang terkemuka Jepun dengan 55 gol daripada 89 perlawanan, dan sebelum ini dipinjamkan ke Oliveirense, Portugal.
  • Dalam musim profesionalnya yang ke-39, Miura berhasrat untuk menambah rekod penampilan dan golnya dalam Liga Bola Sepak Jepun bersama Suzuka.


Bekas penyerang Jepun berusia 57 tahun itu, yang kedua dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang masa negara matahari terbit itu dengan 55 gol daripada 89 perlawanan, dipinjamkan ke pasukan divisyen kedua Portugal, Oliveirense, sejak Februari tahun lepas dan beraksi dalam lapan perlawanan liga tanpa menjaringkan gol.

Miura menjaringkan dua gol dalam 18 perlawanan semasa pinjaman pertamanya di Suzuka Point Getters pada 2022 sebelum kelab itu dinamakan semula pada Januari lalu selepas rombakan pengurusan.

Kini dalam musim profesional ke-39, Miura akan berusaha untuk memperbaharui rekod penampilan dan jaringan tertuanya dalam Liga Bola Sepak Jepun bersama Suzuka.

Anak kelahiran Prefektur Shizuoka ini meninggalkan Jepun pada usia 15 tahun untuk ke Brazil apabila beliau membuat debut profesional bersama Santos pada 1986.

Selepas kembali ke Jepun pada 1990, Miura memenangi anugerah MVP dalam musim pertama J-League pada 1993 semasa bersama Verdy Kawasaki, kini Tokyo Verdy.

Beliau menjadi pemain Jepun pertama bermain dalam Serie A Itali bersama Genoa pada musim 1994-1995 dan juga pernah beraksi di Dinamo Zagreb, Kyoto Sanga, Vissel Kobe dan Sydney FC.

-- BERNAMA