Skuad Harimau Malaya masih mempunyai peluang untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2015 di Australia sekiranya dapat mengutip mata maksimum dalam baki tiga perlawanan pusingan kelayakan.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata selain dua pasukan teratas dalam kumpulan layak ke pusingan akhir, tempat ketiga terbaik keseluruhan juga turut layak.

Dalam baki tiga perlawanan kumpulan D, skuad kendalian Datuk K. Rajagobal akan menentang Bahrain di Stadium Nasional Bahrain pada 15 Nov ini diikuti Qatar pada 19 Nov ini dan Yaman pada 5 Mac tahun depan.

Sebagai persiapan menghadapi Bahrain pada perlawanan timbal balik itu, skuad Harimau Malaya akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan Kuwait pada 6 Nov ini, katanya selepas sidang media mengenai Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2013 di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini, Rabu.

Dalam pada itu, Hamidin berkata Anugerah Bola Sepak Kebangsaan yang memasuki tahun keenam akan diadakan pada 23 Nov ini di Shah Alam.

Sejumlah 13 kategori dipertandingkan iaitu Penjaga Gol Terbaik, Pemain Pertahanan Terbaik, Pemain Tengah Terbaik, Penyerang Terbaik, Pemain Import Terbaik, Jurulatih Terbaik dan Pemain Harapan.

Kategori lain ialah Pemain Paling Bernilai, Persatuan Bola Sepak Terbaik, Kelab Bola Sepak Terbaik, Kelab Penyokong Bola Sepak Terbaik, Pengadil Terbaik dan Pembantu Pengadil Terbaik.

Untuk rekod, penyerang sensasi kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha, yang kini beraksi bersama pasukan Johor Darul Takzim, merupakan pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai bagi tiga tahun berturut-turut sejak 2010.