KUALA LUMPUR: Semua atlet negara yang akan beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini akan dibekalkan dengan penyejuk udara mudah alih bagi mengharungi suhu tinggi musim panas di kota cinta itu.


Ringkasan AI
  • Semua atlet Malaysia yang akan beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 akan dibekalkan dengan penyejuk udara mudah alih untuk mengatasi suhu tinggi musim panas, memandangkan pihak penganjur tidak menyediakan penyaman udara di Perkampungan Sukan.
  • Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Mohd Hamidin Mohd Amin, menasihatkan atlet untuk berhati-hati dan menjaga kesihatan menjelang temasya, mengingatkan insiden kecederaan ringan atlet berbasikal lebuh raya Nur Aisyah Mohamad Zubir baru-baru ini.
  • Jumlah muktamad atlet Malaysia ke Olimpik Paris adalah 26 orang, selepas penerjun Ooi Tze Liang tidak mendapat slot tambahan. Mengenai sasaran pingat, pengumuman akan dibuat oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.


Ia susulan keputusan pihak penganjur untuk tidak menyediakan penyaman udara di Perkampungan Sukan yang menempatkan para atlet dari seluruh negara ketika cuaca panas musim ini dijangka boleh melebihi paras biasa di Perancis.

Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Olimpik 2024 Datuk Mohd Hamidin Mohd Amin mengesahkan bahawa pihak Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) mencari penyelesaian dengan membekalkan penyejuk udara.

"Kita memang dah tahu dari awal ketika lawatan CDM tahun lepas dan atlet pun telah dimaklumkan bahawa tiada penyaman udara di apartment tersebut. Jadi kita ada penyejuk udara, memang kita dah siap sedia untuk itu," katanya kepada pemberita selepas majlis mengumumkan Samsonite sebagai penaja bagasi rasmi kontinjen negara ke Olimpik Paris dengan nilai tajaan RM346,380.

Dalam usaha penganjuran lebih mesra alam, pihak penganjur sebelum ini mengumumkan 7,000 bilik di Perkampungan Sukan tidak akan dilengkapi dengan penyaman udara, tetapi akan menggunakan sistem penyejukan geoterma yang menjamin suhu dalam bangunan sekurang-kurangnya enam darjah celsius lebih rendah daripada suhu di luar.

Dengan suhu musim panas kali ini diramalkan lebih tinggi berbanding sekitar 25 hingga 42 darjah celcius yang pernah dicatatkan sebelum ini, beberapa pihak menyatakan kegusaran mengenai potensi risiko kesihatan, termasuk kekejangan, keletihan dan strok haba.

Menurut laporan media antarabangsa, penganjur baru-baru ini mengumumkan bahawa mereka telah menerima tempahan sejumlah 2,500 unit penyejuk udara daripada beberapa negara, antaranya Britain, Jerman, Itali, Jepun, Kanada, Ireland, Greece dan Australia dengan kos tambahan itu ditanggung sendiri oleh kontinjen berkenaan.

Sementara itu, Hamidin menasihatkan semua atlet supaya lebih berhati-hati dan sentiasa menjaga keselamatan menjelang baki 17 hari sebelum temasya membuka tirai.

"Kita harap mereka dapat menjaga kesihatan, atau berhati-hati sedikit dalam latihan, kalau tidak kerugian pula jika kecederaan berlaku sebelum temasya bermula," katanya mengulas insiden atlet berbasikal lebuh raya Nur Aisyah Mohamad Zubir mengalami kecederaan ringan selepas kemalangan ketika menyertai pertandingan di Belgium, 16 Jun lepas.

Hamidin turut mengesahkan jumlah muktamad 26 atlet Malaysia ke Olimpik kali ini selepas penerjun negara Ooi Tze Liang tidak memperolehi slot tambahan daripada Akuatik Dunia menjelang tarikh tutup, semalam.

Ditanya mengenai sasaran pingat, beliau berkata mahu menunggu pengumuman daripada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengenai perkara itu.

-- BERNAMA