Liek Hou mengesahkan final kedua berturut-turut di pentas Paralimpik dengan mengambil masa 47 minit menumbangkan musuh ketatnya Dheva Anrimusthi dari Indonesia 21-17, 21-17 pada saingan separuh akhir di Porte de La Chapelle Arena esok sekali gus berpeluang mempertahankan emas dimenanginya pada edisi Tokyo 2020.
Sebaliknya, rakan sepasukannya Muhammad Fareez Anuar tidak berupaya mengekalkan momentum terbaiknya ketika ini apabila tumpas kepada Suryo Nugroho juga dari Indonesia, 12-21, 21-14, 6-21 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Fareez akan menentang Dheva pada perlawanan merebut pingat gangsa hari ini.
Berdasarkan rekod pertemuan, Liek Hou yang juga pemain nombor satu dunia dan pilihan utama temasya memiliki kelebihan ke atas Nugroho hari ini apabila menang 13 kali termasuk kemenangan 21-10, 21-13 pada aksi terakhir Kumpulan A di sini, semalam.
Fareez yang membuat kemunculan pertama di pentas Paralimpik pula pernah menewaskan Dheva dua kali dalam enam pertemuan termasuk kejutan ke atas lawan nombor tiga dunia itu 14-21, 21-19, 21-19, dalam Kumpulan B di sini.
Selain kemenangan ke atas Dheva, Fareez juga mengejutkan pilihan kedua dari Taiwan, Fang Jen-Yu 21-14, 21-18 dan menutup kempen Kumpulan B dengan mengatasi wakil Jepun, Taiyo Imai 17-21, 21-17, 21-17.
-- BERNAMA