Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) diberi tempoh sehingga akhir bulan depan bagi mengadakan mesyuarat agung tahunannya (AGM), kata Pesuruhjaya Sukan, Datuk Mohd Yassin Mohd Salleh.

Beliau berkata pihaknya telah menghantar surat kepada PABM bulan lepas dengan meminta badan induk itu itu mengadakan mesyuarat agungnya dalam tempoh terdekat.

"Kami masih menunggu surat balas daripada PABM untuk memberi tarikh AGM bagi membolehkan wakil kami memantau mesyuarat itu," katanya ketika dihubungi Bernama Isnin.

Pada Jumaat lepas, 14 ahli gabungan PABM yang diketuai Penolong Setiausaha Kehormatnya, Ahmad Janius Abdullah, telah menghantar surat desakan kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM).

PABM sepatutnya mengadakan AGM Mac lepas.

Mohd Yassin berkata mereka menerima surat desakan itu dan masih memberi peluang dan masa kepada PABM menyelesaikan perkara itu secara dalaman bagi memutuskan tarikh AGM.