Oscar Pistorius atlet paralimpik yang didakwa membunuh teman wanitanya Reeeva Steenkamp baru-baru ini, tidak akan kembali menjalani latihan dalam tempoh terdekat.

Perkara itu diputuskan pengurusnya Peet Van Zyl.

Menurut Van Zyl, Pistorius memerlukan sedikit masa untuk menumpukan kepada olahraga selepas apa yang menimpanya baru-baru ini.

“Kita perlu beri masa pada dia selepas kehilangan Reeva dan dia tidak terikat dari mana-mana pihak untuk kembali berlatih. Keputusan terletak ke atas dia bila dia sudah bersedia” katanya lagi kepada pemberita.

Pistorius juga tidak akan turun bertanding dalam sebarang saingan sama ada tempatan mahupun antarabangsa.

Teman wanita Pistorius, Steenkamp seorang model dan graduan undang-undang menemui ajal kerana ditembak di kediamannya di Pretoria pada hari kekasih 14 Februari lepas.

Sebelum ini Pistorius diberkas dan didakwa dengan kes bunuh pada hari sama.

Namun beliau dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu perbicaraan ke atas kesnya disebut semula.