Pasangan beregu lelaki negara Ong Yew Sin/Teo Ee Yi meneruskan langkah mereka ke separuh akhir Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Australia di Olympic Park Sports Centre Sydney, Australia, hari ini.

Pasangan bukan pilihan itu menundukkan pasangan muda Indonesia, Saputra Alvindo/Ferdinand Sinarta Surbakti, 21-9 dan 21-7 dalam perlawanan pusingan kedua, menurut laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia (BWF), www.bwfbadminton.org.

Mereka akan bertemu Liu Cheng/Zhang Nan dari China selepas pasangan bukan pilihan itu menewaskan pilihan ketujuh yang juga rakan senegara, Huang Kaixiang/Wang Yilyu, 21-16 dan 21-14 dalam satu lagi perlawanan pusingan kedua.

Bekas pemain negara, Tan Boon Heong yang bergandingan dengan bekas juara Olimpik Indonesia Hendra Setiawan juga layak ke suku akhir selepas mengejutkan pilihan keenam Lee Jhe-Huei/Lee Yang dari Taiwan 21-17 dan 21-11.

Cabaran negara menerusi kedua-dua perseorangan lelaki dan wanita berakhir selepas pemain Malaysia tewas dengan lawan masing-masing.

SUKAN-BADMINTON (TERBUKA AUSTRALIA) 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR

Pemain profesional, Zulfadli Zulkiffli tewas 20-22 dan 15-21 kepada pemenang dua kali pingat emas Sukan Asia, Lee Hyun Il dari Korea Selatan sementara Soniia Cheah memberikan tentangan sengit kepada pemain India, Saina Nehwal sebelum tewas 15-21, 22-20 dan 14-21.

Dalam acara beregu campuran, dua pasangan negara -- Chan Peng Soon/Cheah Yee See and Tan Kian Meng/Lai Pei Jing menghadapi nasib berbeza.

Chan/Cheah melangkah ke pusingan seterusnya dengan mengalahkan pasangan Indonesia Hendra Tandjaya/Sekartaji Putri, 21-10 dan 21-5 sementara Tan/Lai tersingkir daripada kejohanan selepas tewas 16-21 dan 21-23 kepada pasangan Jepun Yugo Kobayashi/Misaki Matsutomo.

Malaysia tidak mengambil bahagian di dalam acara beregu wanita pada kejohanan yang menawarkan hadiah US$750,000 (RM3.219 million) selepas wakil tunggal, Vivian Hoo Kah Mun/Woon Khe Wei menarik diri di saat akhir selepas Vivian mengalami kecederaan.

-- BERNAMA