KIRA-kira 1,000 pegawai polis Perancis bertugas menjaga keselamatan pada perlawanan bola sepak Israel menentang Mali di Sukan Olimpik Paris, acara berisiko tinggi yang menyaksikan peminat mengibarkan bendera Palestin dan Israel.

Semasa lagu kebangsaan Israel dinyanyikan, wisel dan ejekan turut kedengaran di sekitar Parc des Princes yang memenuhi kira-kira 25,000 peminat dalam perlawanan itu.

Pada masa yang sama, beberapa penonton memakai baju dengan tulisan 'free Palestine' selain bendera Palestin dikibarkan oleh mereka.

Malah, setiap kali pemain Israel membawa bola, mereka turut akan diejek oleh penonton.

Terdapat penonton memakai pelekat kuning yang ditampal dengan perkataan 'Gaza: Silence kills' dan mereka telah diminta oleh pegawai perlawanan untuk tidak memakainya.

Permainan yang melibatkan pasukan Israel serta perlawanan Ukraine-Iraq di bandar tenggara Lyon, telah dikenal pasti oleh pasukan keselamatan Perancis sebagai berisiko tinggi.

"Semua pertandingan mempunyai pelan keselamatan, tetapi memang benar bahawa kedua-dua perlawanan ini, dan khususnya perlawanan di Parc des Princes, akan mempunyai keselamatan, perimeter anti-keganasan.

"Malam ini di Parc des Princes akan ada seribu pegawai polis yang akan memastikan kami berada di sana untuk sukan itu," kata menteri dalam negeri Perancis Gerald Darmanin.

Semua atlet Israel di Sukan Olimpik itu akan mempunyai keselamatan peribadi sepanjang masa yang disediakan oleh polis elit Perancis, baik di dalam perkampungan Olimpik dan setiap kali mereka meninggalkan perkarangan di utara Paris.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) Thomas Bach dan Presiden Perancis Emmanuel Macron pada Selasa menolak tuntutan Palestin supaya Israel dihalang daripada menyertai Sukan Paris berhubung perang di Gaza.

Jawatankuasa Olimpik Palestin meminta larangan ke atas Israel dalam surat kepada IOC, mengatakan pengeboman di Semenanjung Gaza adalah pelanggaran gencatan senjata Olimpik.

https://www.sinarharian.com.my/article/676791/berita/sukan/olimpik-paris-lagu-kebangsaan-atlet-israel-diejek