PARIS: Pengadil Australia Benjamin Lowe disingkir daripada pertandingan luncur air Sukan Olimpik Paris selepas gambar beliau bersama peluncur negara itu Ethan Ewing, tular dalam media sosial.

Persatuan Luncur Air Antarabangsa (ISA) dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan pihaknya menggantung Lowe daripada panel pengadilan bagi baki acara itu untuk "melindungi integriti dan keadilan pertandingan yang sedang berlangsung", lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Menurut laporan media, jurulatih Australia Bede Durbidge yang turut berada dalam foto berkenaan, memuat naik gambar itu dalam akaun Instagram miliknya.

Lowe dikritik hebat oleh persekutuan luncur air Brazil selepas Sukan Tokyo 2020 kerana memberi markah rendah kepada Gabriel Medina dalam pusingan separuh akhir menentang peluncur Jepun, Kanoa Igarashi.

-- BERNAMA