PARIS: Keely Hodgkinson meraih pingat emas olahraga pertama Britain dalam Sukan Olimpik Paris dengan memenangi acara akhir 800 meter (m) wanita pada Isnin.

Atlet berusia 22 tahun itu yang memenangi perak di Sukan Olimpik Tokyo tiga tahun lepas berjaya mengatasi asakan Tsige Duguma dari Ethiopia untuk menang dengan catatan masa 1:56.72 di Stade de France, lapor Xinhua.

Duguma meraih pingat perak dengan catatan masa peribadi terbaik 1:57.15, manakala Mary Moraa dari Kenya memenangi gangsa dengan catatan masa 1:57.42.

"Saya sangat gembira. Saya kini juara Olimpik untuk empat tahun akan datang, dan tiada siapa yang boleh merampasnya daripada saya," kata Hodgkinson.

Ini merupakan pingat trek Olimpik pertama Britain sejak Mo Farah memenangi emas menerusi acara 5,000m dan 10,000m di Rio 2016.

-- BERNAMA