Dalam acara kategori 61 kilogram (kg) yang berlangsung pada Rabu, atlet muda baru berusia 22 tahun itu berjaya membuat angkatan 297kg, sekali gus berada di belakang atlet Amerika Syarikat, Hampton Morris dengan angkatan 298kg.
Bagaimanapun, pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu berjaya memperbaharui rekod kebangsaannya dengan angkatan 296kg bagi kategori 61kg.
Aniq menamatkan pusingan snatch dengan angkatan 130kg untuk berada di tangga keempat dan 167kg dalam clean and jerk.
Pingat emas dimenangi oleh atlet dari China, Li Fabin dengan angkatan 310kg, manakala perak dimenangi oleh atlet dari Thailand, Theerapong Silachai (303kg).
Sementara itu Aniq dalam temu bual bersama Astro Arena selepas selesai aksi tersebut mengakui perasaanya sedikit kurang baik tetapi telah melakukan sehabis upaya untuk menyumbang pingat kepada negara.
"Perasaan saya kurang baik sebab kalah beza satu kilogram tetapi bangga kerana dapat buat terbaik hari ini.
"Alhamdulillah ini keputusan akan buat saya lebih kuat pada masa akan datang," katanya.
Sebelum ini atlet kelahiran Segamat itu menghadiahkan gangsa kepada Malaysia dalam Kejohanan Dunia 2023 di Riyadh, Arab Saudi