SEPANG: Dari Bintulu, Sarawak ke Paris - Ashley Lau melakar sejarah tersendiri dalam sukan golf pada temasya sukan terbesar dunia, kali ini.


Ringkasan AI
  • Ashley Lau, pemain golf dari Sarawak, mencatat sejarah dengan menjadi pemain golf Sarawak pertama yang layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.
  • Walaupun berada di kedudukan ke-55 daripada 60 peserta dalam acara individu wanita, Ashley menganggap pengalaman ini berharga kerana dapat bersaing dengan pemain berkelas dunia.
  • Meskipun merasa gugup, dia berharap untuk memperbaiki prestasinya pada masa depan dan mengakui perlunya menguruskan aspek mental dan tekanan.


Walaupun mengakhiri kempen Sukan Olimpik Paris 2024 di kedudukan ke-55 daripada 60 peserta acara individu wanita, tetapi pemain berusia 24 tahun ini menyifatkan ia satu pengalaman berharga buatnya kerana dapat bersaing dengan pemain berkelas dunia.

Berkongsi perasaannya sebaik tiba di Malaysia hari ini, Ashley mengakui sedikit gementar beraksi di pentas Olimpik memandang ia penampilan sulungnya.

“Saya rasa agak kecewa. Saya berharap untuk mencapai keputusan yang lebih baik, tetapi saya rasa ini adalah pengalaman yang hebat.

“Saya datang ke Sukan Olimpik dengan rasa gugup dan berharap untuk berbuat lebih baik, tetapi saya mendapat banyak pengalaman dan pelajaran.

“Saya rasa hari ketiga dan keempat sebenarnya saya bermain dengan cukup baik.

“Hanya ada satu atau satu dua lubang yang saya dapat markah besar. Ya, (saya perlu) meminimumkan kesilapan itu,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini pada Selasa.

Berkongsi lanjut, pemain profesional di ranking ke-316 dunia itu berkata pengalaman mengharungi beberapa kejohanan di dalam negara juga sedikit sebanyak membantunya berdepan rasa gugup.

Begitu pun, ujar atlet berbakat besar ini,  dia perlu menguruskan aspek mental dan tekanan dengan lebih baik pada masa depan.

“Saya rasa di situ saya agak kekurangan berbanding pemain lain. Jadi, ya, (fokus tambah baik adalah) lebih kepada aspek mental,” tambahnya.

Mengulas mengenai perancangan seterusnya, Ashley berkata dia berasa cukup bertuah kerana diberi peluang sebagai pembawa obor untuk Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak yang dijadual bermula dari 17 hingga 24 Ogos ini.

“Itulah sebabnya saya kembali (ke Malaysia). Kemudian, saya akan kembali ke Amerika Syarikat (AS) lagi dalam dua minggu.

“Saya rasa ia adalah satu penghormatan yang besar apabila mereka menghantar surat kepada saya untuk menjadi pembawa obor,” katanya yang tidak lekang dengan senyuman.