Itulah ungkapan yang digambarkan pelumba basikal elit negara, Datuk Azizulhasni Awang, selepas mengalami insiden yang mencetuskan perdebatan dalam perlumbaan keirin pusingan pertama semalam.
Azizulhasni telah tampil memberikan penjelasan terperinci menerusi akaun media sosial miliknya awal pagi Ahad, mengenai apa yang berlaku dalam perlumbaan tersebut, di mana beliau turut berkongsi strateginya dan isu-isu yang timbul.
Azizulhasni memulakan penjelasannya dengan menyatakan bahawa beliau telah menerima posisi keenam dalam draw dan menekankan bahawa terdapat perancangan khusus untuk berlumba dari posisi tersebut.
"Hasil perbincangan bersama jurulatih John Beasley, plan terbaik adalah untuk terus ke hadapan dan cuba mendapatkan posisi paling hadapan seawal mungkin.
"Ini adalah kerana ada beberapa pelumba front runner (senko) berada di hadapan.
"Jika pelumba hadapan terus memecut awal, ianya akan meletakkan saya di situasi sukar untuk bergerak ke hadapan pada kelajuan tinggi, berdasarkan beberapa pelumba yang berada di hadapan saya," katanya.
Menurutnya, taktik yang serupa turut dilakukannya ketika pusingan awal di Olimpik Tokyo dahulu dan Asian Championships di Kuala Lumpur sebelum ini untuk bergerak ke hadapan selepas pacer keluar untuk merebut kedudukan posisi paling hadapan (pertama).
Tetapi apabila berbuat demikian, berlaku himpitan dilakukan oleh pelumba lain.
"Namun ketika melepas selekoh ketiga dan sebelum memasuki selekoh keempat, saya dihalang dengan himpitan dari pelumba Perancis.
"Himpitan itu terlalu aggressive dan bagi saya ianya adalah intentionally aggressive kerana melanggar saya dan saya hampir terjatuh.
"Saya terselamat daripada jatuh kerana quick reaction dan good handling skill yang saya ada.
"Tidak cukup dengan itu beliau masih mengekori rapat di sebelah dan masih cuba memberikan himpitan kedua dan di dalam keadaan seperti itu reaksi saya adalah bergerak ke hadapan untuk mengelak dari beliau," tambahnya lagi.
Azizulhasni mengakui bahawa tayar belakangnya mungkin telah memotong pacer sebelum ia keluar, namun menegaskan bahawa ia tidak disengajakan.
Beliau juga menjelaskan bahawa kelajuan pacer yang lebih perlahan dari kebiasaan turut menyumbang kepada insiden tersebut.
Walaupun jurulatih dan pengurus pasukan telah membuat rayuan kepada panel komisar untuk menyemak semula keputusan, rayuan mereka tidak diterima.
Azizulhasni turut menyentuh tentang situasi di mana pelumba lain melakukan kesalahan tetapi tidak dikenakan tindakan oleh panel komisar.
Beliau merujuk kepada beberapa insiden dalam perlumbaan lain yang melibatkan pelumba dari Great Britain, Holland, dan Jepun, di mana pelanggaran peraturan tidak diambil tindakan.
Mengakhiri penjelasannya, Azizulhasni berharap agar semua pihak terus memberikan sokongan dan doa kepada rakan sepasukannya, Shah Firdaus, yang kini menggalas tanggungjawab besar untuk membawa pulang pingat emas bagi Malaysia.
"Saya percaya Shah Firdaus mampu melakukannya," kata Azizulhasni, penuh keyakinan.