KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek wanita negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri berdepan detik malang apabila terbabit kemalangan ketika saingan acara keirin di Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Turkiye, semalam.

Dalam saingan di Velodrom Konya, Nurul Izzah yang berlumba dalam pusingan pertama repechage terjatuh selepas berlanggar dengan Makaira Wallace dari Trinidad and Tobago ketika cuba memintas lawannya itu.

Nurul Izzah yang terbaring di trek tidak meneruskan kayuhan sekali gus tidak dapat menamatkan perlumbaan, manakala Wallace mengakhiri saingan di tempat ketiga.

Pelumba berusia 21 tahun itu terpaksa berlumba di pusingan repechage selepas menamatkan saingan di tempat keempang dalam saringan enam.

Sabtu lepas, pelumba kelahiran Sungai Petani, Kedah itu meleburkan rekod kebangsaan miliknya dalam acara pecut individu di kejohanan sama selepas merakam kepantasan 10.578 saat (s) dalam pusingan kelayakan.

Catatan itu memadam rekod 10.658s yang dilakukannya pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) 2025 di Nilai bulan lepas.

Kejohanan Piala Negara-Negara UCI yang bermula Jumaat lepas melabuhkan tirainya semalam.

-- BERNAMA