Jaguh lompat tinggi negara Nauraj Singh Randhawa dipilih sebagai pembaca ikrar atlet pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata pemilihan atlet berusia 25 tahun itu berdasarkan rekod pencapaian sepanjang penglibatan Nauraj dalam sukan berkenaan.

"Nauraj dilihat sebagai atlet yang menyerlah dalam program Kita Juara, dia melayakkan diri ke Program Podium. Nauraj adalah contoh atlet yang bermula dari bawah dan boleh jadi atlet bertaraf dunia.

"Jadi saya bagi penghormatan kepada Nauraj Singh," katanya kepada pemberita pada program Larian Obor KL2017 di Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 1 di sini hari ini.

Selain itu, Khairy berkata Nauraj dipilih sebagai pembaca ikrar atlet kerana ketinggian yang dimilikinya iaitu 1.93 meter yang boleh menjadi tumpuan ketika ikrar dibacakan pada upacara pembukaan rasmi KL2017 pada 19 Ogos ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

"Saya pilih Nauraj kerana dia tinggi, sebab orang yang tinggi bila baca ikrar orang akan beri tumpuan. Ikrar akan dibaca dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Inggeris dia (Nauraj) pun baik. Jadi tidak akan tersasul," kata Khairy.

Nauraj merupakan pemenang pingat emas Sukan SEA 2013 di Myanmar dan 2015 di Singapura.

Atlet kelahiran Johor itu juga melakukan lompatan 2.29m di Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura sekali gus melebur rekod kebangsaan milik Lee Hup Wei yang dicatat pada 2008.

Nauraj ialah satu-satunya atlet olahraga yang layak secara merit ke Sukan Olimpik Rio 2016 dan mendapat tempat ke-18 dalam acara lompat tinggi pada penampilan pertama di temasya itu.

Mengenai dua acara yang bermula hari ini melibatkan skuad bola sepak dan bola jaring negara, Khairy berharap pemain akan mempamerkan aksi terbaik untuk mencipta kejayaan sulung dalam acara masing-masing dan mengucap selamat maju jaya kepada mereka.

"Saya sempat berbual dengan skuad bola jaring dan juga Kim Swee (Datuk Ong Kim Swee, Ketua Jurulatih Bola Sepak negara) semalam. Kita harapkan dengan permulaan yang baik hari ini, kontinjen negara akan terus bersemangat mengharungi cabaran sepanjang temasya ini," katanya.

Kira-kira 1,000 peserta termasuk 200 murid sekolah menyertai larian obor hari ini yang bermula di Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 2.

Ia turut disertai anak Khairy, Jibriel Ali serta lagenda bola sepak negara seperti Datuk Santokh Singh, Datuk K. Rajagobal, Khalid Ali, Razip Ismail dan Zainal Abidin Hassan serta jaguh berbasikal negara Datuk Ng Joo Ngan.

-- BERNAMA