KUALA LUMPUR: Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Misbun Sidek mahu melihat barisan muda mencapai kejayaan pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2022 di Huelva, Sepanyol.

Harapan itu dilontarkan Misbun selepas percaya barisan kejurulatihan dapat membentuk pasukan junior yang mantap bagi menghadapi saingan berkenaan tahun depan.

"Saya harap tahun depan dengan kemungkinan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sudah mula reda, barisan jurulatih dapat menambah lagi modul khusus dalam latihan untuk menaikkan mereka ke satu taraf yang boleh memegang gelaran Kejohanan Badminton Remaja Dunia dan membina skuad yang sangat bagus," katanya dalam satu video dimuat naik di laman Facebook BAM pada Jumaat.

Bekas pemain kebangsaan berusia 61 tahun itu menyifatkan saingan di Sepanyol itu nanti sebagai platform bagi barisan kejurulatihan mencongak tahap permainan pemain dari negara lain seperti China, Indonesia, Denmark dan Thailand.

Ini, katanya kerana persembahan ditampilkan pemain lawan itu mampu memberi panduan berguna kepada pemain kebangsaan untuk mengenal pasti corak permainan mereka sekiranya berpeluang beraksi pada peringkat senior kelak.

"Kita harus melihat bagaimana hendak mencongak status pemain negara lain, kerana kebiasaannya corak permainan skuad senior sama dengan barisan junior mereka," tambahnya.


-- BERNAMA