MIMOS Berhad pada hujung minggu lalu menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Worldcoin Foundation, Tools for Humanity (TFH) dan MyEG untuk mengintegrasikan sistem pengesahan identiti biometri Worldcoin ke dalam infrastruktur digital Malaysia.

Menerusi MoU ini, teknologi imbasan anak mata TFH dan rantaian blok Worldcoin akan digunakan untuk mengesahkan identiti pengguna dalam talian yang dilihat akan menjadi isu penting pengesahan pengguna dalam era kecerdasan buatan (AI).

Selain itu, ia juga akan melihat potensi kerjasama menyokong Worldcoin dalam rantaian blok kebangsaan serta pengilang glob imbasan biometri di dalam negara.


Glob imbasan anak mata Worldcoin

Worldcoin menggunakan peranti berbentuk glob dengan pengimbas anak mata terbina untuk proses pengesahan ini.

Setakat ini, menurut Worldcoin sebanyak 6,481,410 individu telah mendaftar menggunakan sistem biometri mereka di Eropah dan Amerika Latin.

Worldcoin melihat sistem identiti digital World ID mereka akan digunakan sebagai piawaian standard global untuk mengesahkan identiti di masa depan.

Worldcoin ialah projek Tools For Humanity yang diasaskan oleh Sam Altman, Max Novendstern dan Alex Blania pada tahun 2019 sebagai cara untuk memberikan dana Pendapatan Asas Sejagat (UBI) secara terus.

Ia adalah antara eksperimen melihat keberkesanan UBI yang dilakukan oleh Sam Altman.

Projek itu walau bagaimanapun dilanda beberapa kontroversi mengenai privasi, dan penyimpanan data biometri pengguna.

Disebabkan isu ini, pengumpulan data di Portugal, Sepanyol, Hong Kong dan Kenya telah dihentikan.

Sementara itu, siasatan telah dimulakan pihak berkuasa data peribadi di UK, Perancis dan Korea Selatan mengenai keselamatan data pengguna Worldcoin. -Amanz