KUALA LUMPUR: Pihak yang terlibat dalam urusan pembelian aset ketenteraan dan pembinaan kemudahan anggota tentera akan ditukar setiap tiga tahun bagi mengelak salah laku termasuk rasuah selain meningkatkan tahap integriti, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, beliau berkata mana-mana pihak yang terlibat dalam perolehan aset ketenteraan tidak akan kekal lama dalam posisi berkenaan untuk memastikan urusan perolehan aset terbabit bebas daripada elemen rasuah dan salah guna kuasa.

Beliau berkata ia sejajar dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menasihati kerajaan untuk meningkatkan tahap integriti perolehan aset ketenteraan.

"Apa yang penting adalah kita mengikut saranan kerajaan iaitu bagi mereka yang berada dalam posisi yang menentukan spesifikasi aset tentera akan ditukar.

"Ini bagi memastikan tiada sesiapa pun kekal lama di posisi itu, bermaksud setiap tiga tahun akan ada pertukaran dan kita akan lakukannya," katanya.

Mohamed Khaled berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Kementerian Pertahanan 2024 di di sini hari.

Mohamed Khaled berkata pihaknya bergantung kepada peruntukan yang diluluskan Kementerian Kewangan sebelum menentukan jenis aset yang diperlukan.

"Secara spesifik itu tidak ada dan kita ikut apa yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan baru kita tau apa kita nak.

"Saya percaya kita punyai pelbagai jenis perolehan. Sebagai pemerintah tertinggi (Angkatan Tentera Malaysia), Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sememangnya mempunyai akses perkara yang kita lakukan (dalam perolehan). Jadi kita sentiasa beri kerjasama kepada Seri Paduka Baginda," katanya.

Pada Sabtu lepas, Yang di-Pertuan Agong bertitah kedaulatan dan maruah negara akan tergadai jika pegawai tentera terlibat dengan elemen rasuah dan salah guna kuasa.

Sultan Ibrahim bertitah selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Seri Paduka Baginda tidak akan memberi muka kepada mana-mana pegawai ATM yang mengamalkan rasuah, salah guna kuasa dan gagal melaksanakan amanah sebagai pegawai tentera.

-- BERNAMA