Ringkasan AI
- Kos pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 adalah lebih rendah, iaitu RM2,000 bagi setiap pelatih, berbanding PLKN 1.0 dan 2.0.
- PLKN 3.0 melibatkan lebih 100,000 peserta, dilaksanakan di kem wataniah, universiti, dan politeknik, dengan kos tahunan RM200 juta.
- Menteri Pertahanan menyatakan pemantauan akan dilakukan untuk memastikan keberkesanan program ini, termasuk penilaian berterusan dan pengukuran selepas tamat program.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pelaksanaan PLKN 1.0 melibatkan kos tahunan RM565 juta dengan 71,300 peserta, manakala PLKN 2.0 berjumlah RM361 juta melibatkan 20,000 peserta.
"Bagi PLKN 3.0, kos tahunannya RM200 juta tetapi melibatkan peserta melebihi 100,000 orang kerana ia bukan sahaja dibuat di kem wataniah melalui Angkatan Tentera Malaysia tetapi ia juga dilaksanakan di universiti dan politeknik.
"Maka kos setiap pelatih jika PLKN 1.0 RM7,900 seorang, PLKN 2.0 adalah RM18,000 seorang manakala PLKN 3.0 hanya RM2,000 seorang," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) yang mempersoalkan mengenai kos seorang pelatih PLKN 3.0 yang tinggi serta pengisian program dalam latihan ketenteraan.
Mohamed Khaled berkata pihaknya akan mengadakan pemantauan bagi memastikan keberkesanan PLKN 3.0 yang melibatkan pelbagai pihak.
"Kaedah penilaian ini termasuk pemantauan semasa program, penilaian berterusan dan pengukuran selepas tamat program," katanya.
PLKN 3.0 siri pertama 2025 yang melibatkan 120 pelatih telah dimulakan di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah Kuala Lumpur pada 12 Jan lepas.
Program itu dilaksanakan kembali selepas tujuh tahun dimansuhkan.
-- BERNAMA