BESUT: Sebanyak 60.4 peratus bancian membabitkan isi rumah dan pertubuhan perniagaan yang terbabit dalam aktiviti pertanian di Terengganu telah selesai dibanci Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bermula 7 Julai lepas.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata peratusan itu melibatkan bancian di 55,815 tempat kediaman dan 363 pertubuhan perniagaan.

Katanya peratusan yang dicatatkan itu juga menyaksikan Terengganu menjadi negeri kedua tertinggi menyelesaikan bancian pertanian selepas Pulau Pinang yang kini sudah mencapai 65.3 peratus.

"Kita tahu Pulau Pinang kawasan pertaniannya kecil berbanding Terengganu yang jauh lebih meluas dan meliputi semua daerah yang mana sumbangan sektor pertanian kepada ekonomi Terengganu pada 2023 juga besar iaitu RM2.9 bilion," katanya.

Beliau berkata demikian selepas lawatan pengoperasian dan pemantauan banci pertanian di Ayana Agrotech Taman Kekal Pengeluaran Makanan (Tanaman Melon Manis) di Kampung Tok Dor, Besut.


Jelasnya hasil bancian di terengganu juga menunjukkan subsektor tanaman adalah penyumbang tertinggi kepada sektor pertanian iaitu 69.0 peratus, diikuti oleh subsektor ternakan dengan 24.2 peratus, perikanan 6.5 peratus serta 0.2 peratus bagi subsektor perhutanan dan pembalakan.

Mohd Uzir berkata setakat ini 44.3 peratus bancian telah dilaksanakan di seluruh negara.

Beliau yakin pembancian itu dapat diselesaikan mengikut tempoh berbaki pada 10 Oktober depan.