KLUANG: Seorang pelajar kolej maut sementara adik perempuannya cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dengan sebuah lori di Kilometer (KM) 76, Jalan Johor Bahru - Air Hitam di sini, pada Ahad.


Ringkasan AI
  • Seorang pelajar kolej maut dan adik perempuannya cedera parah dalam kemalangan antara kereta Nissan Almera dan lori treler di Jalan Johor Bahru - Air Hitam.
  • Kereta hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori, menyebabkan kematian penumpang berusia 22 tahun dan kecederaan serius kepada pemandu berusia 21 tahun.
  • Pemandu lori tidak cedera dan ujian saringan air kencing negatif; kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ), 1987.


Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima makluman daripada orang awam berhubung kemalangan berkenaan sekitar jam 4.30 petang melibatkan sebuah lori treler jenis Chenglong dan sebuah kereta jenis Nissan Almera.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati lori berkenaan dalam perjalanan dari arah Machap menghala ke Simpang Renggam manakala Nissan Almera dari arah bertentangan.

“Bagaimanapun, setibanya di lokasi kejadian, kereta terbabit telah hilang kawalan hingga memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan lori.

“Akibat pelanggaran tersebut, penumpang kereta berusia 22 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di muka dan badan sementara adik perempuannya berusia 21 tahun yang memandu kereta cedera parah di bahagian muka selain patah kaki kiri, kini dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang,” katanya.

Bahrin berkata, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan ditahan bagi ujian saringan air kencing di Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, namun keputusannya adalah negatif.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ), 1987. -Sinar Harian