MEDIA sosial meriah malam ini selepas skuad bola sepak bawah 23 tahun negara menewaskan finalis Piala Dunia, Korea Selatan, sebentar tadi.

Malaysia yang dibimbing Datuk Ong Kim Swee dan turun dengan misi satu mata, berjaya mencatatkan kemenangan dalam perlawanan kedua dalam aksi Sukan Asia di Stadium Si Jalak Harupat di Bandung, Indonesia.

Biarpun masih di peringkat kumpulan, kemenangan itu dilihat sebagai satu kejayaan besar yang perlu diraikan memandangkan lawan bukanlah calang-calang.

Rata-rata komen di laman sosial meluahkan rasa sebak dan terharu, dan menyifatkan malam ini malam bersejarah buat seluruh peminat bola sepak tempatan.








Agak lucu juga apabila ada sebilangan netizen mempersoalkan kelibat penyokong Korea Selatan dalam kalangan penyokong Indonesia.

Namun ia disifatkan perkara biasa kerana permainan psikologi adalah satu kemestian dalam bola sepak.

Dua gol Malaysia disumbangkan oleh Safawi Rasid, manakala gol saguhati Korea Selatan dijaringkan Hwang Ui Jo.

Kemenangan itu membawa Malaysia ke peringkat 16 terbaik dan berada di kedudukan teratas kumpulan E.