KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao melakukan kejutan besar dalam Masters Jepun 2024 apabila menewaskan pemain tuan rumah yang juga pilihan kedua kejohanan Kodai Naraoka untuk melangkah ke separuh akhir di Kumamoto hari ini.

Pada kejohanan Super 500 yang diadakan di Gimnasium Wilayah Kumamoto, Jepun, pemain bukan pilihan itu berjaya mengharungi pertarungan sengit yang berlangsung selama satu jam 20 minit dengan keputusan 21-17, 9-21, 21-16.

Keputusan hari ini merupakan kemenangan ketiga pemain ranking ke-31 dunia itu ke atas pemain nombor empat dunia berkenaan dalam empat pertemuan.

Satu lagi ujian sukar menanti Jun Hao di separuh akhir apabila dia akan menentang pemain Indonesia Jonatan Christie yang terdahulu telah menewaskan pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia, 12-21, 21-18, 21-18.

Pemain berusia 25 tahun itu akan menemani beregu campuran profesional Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan beregu lelaki Nur Mohd Azriyn Ayub Azriyn-Tan Wee Kiong dalam babak empat terakhir esok.

Pilihan ketiga Soon Huat-Shevon menumbangkan pasangan Jepun Hiroki Midorikawa-Natsu Saito 21-16, 21-13 dan seterusnya akan menentang Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran dari Thailand.

Nur Mohd Azriyn-Wee Kiong meneruskan momentum kecemerlangan mereka apabila mengatasi Chiu Hsiang-Chieh-Wang Chi-Lin dari Taiwan 21-19, 21-19 dan akan meneruskan cabaran bertemu pilihan keenam kejohanan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun.

-- BERNAMA