Juara bertahan, Johor Darul Takzim (JDT) terpaksa menunggu untuk ambil alih takhta Liga Super daripada pendahulu, Pahang meskipun menang 2-1 lawan PDRM semalam.
Ketua Jurulatih, Mario Gomez menyifatkan bahawa pasukannya harus memberi tumpuan kepada momentum tersendiri dan elak terlalu bimbang dengan prestasi Pahang."Ini kutipan tiga mata yang amat penting untuk kami, tidak kira sama ada Pahang menang atau kalah menentang Selangor" ujarnya.
Namun, pengendali The Cops, Azman Adnan bangga dengan paparan anak buahnya dan mengharapkan corak permainan semalam boleh diteruskan sepanjang baki perlawanan kempen ini.
"Saya nampak pemain saya tetap berjuang sehingga wisel penamat dan kekalahan ini satu yang bermaruah kerana JDT selaku juara bertahan." katanya kepada sidang media.
Skuad Harimau Selatan tidak menunngu lama untuk berada di depan apabila umpanan Aidil Zafuan Abdul Radzak berjaya disudahkan kapten Safiq Rahim pada minit ke-4.
Sepuluh minit berselang, giliran Aidil pula hampir mencetak nama selaku penjaring, namun percubaannya sekadar terkena palang untuk kedudukan 1-0 pada babak pertama.
Bersambung babak kedua, JDT terus melancarkan serangan bertali arus ke kubu PDRM sebelum memperoleh gol kedua sekali lagi menerusi Safiq hasil hantaran Luciano Figueroa pada minit ke-55.
PDRM yang enggan mengalah kemudian dihadiahkan sepakan penalti selepas Mohamadou Sumareh dikasari dan peluang itu berjaya disempurnakan Dramane Traore pada minit ke-82.
Namun, kebangkitan itu sudah terlewat buat PDRM apabila kedudukan 2-1 kekal sehingga wisel penamat sekaligus memastikan tiga mata penuh milik JDT.