LONDON: Manchester United telah menandatangani pemain tengah antarabangsa Uruguay, Manuel Ugarte daripada Paris St Germain.

Pemain berusia 23 tahun itu menyertai Manchester United sehingga Jun 2029 dengan pilihan untuk melanjutkan setahun lagi dengan yuran permulaan difahamkan berjumlah GBP42 juta (US$55 juta), menurut agensi berita PA.

Ugarte memenangi kejuaraan liga dan piala berganda bersama PSG musim lepas, sebelum bermain dalam setiap perlawanan untuk negaranya di Copa America dan dinamakan dalam pasukan terbaik kejohanan itu.

Pemain itu berkata: "Ia adalah satu perasaan yang luar biasa untuk menyertai kelab ini; sebuah kelab yang dikagumi di seluruh dunia.

"Projek yang dibincangkan oleh kepimpinan bola sepak dengan saya amat menarik; Manchester United adalah sebuah kelab yang bercita-cita tinggi dan saya seorang pemain yang bercita-cita tinggi.

"Keghairahan penyokong adalah sesuatu yang sangat penting bagi saya; saya tahu betapa luar biasanya peminat United dan saya tidak sabar untuk merasai suasana di Old Trafford."

Sejak permulaan musim 2022-23, Ugarte mencatatkan purata jumlah bentesan kedua tertinggi setiap 90 minit dalam liga utama Eropah.

Sementara itu, Pengarah sukan Manchester United Dan Ashworth berkata menandatangani Manuel adalah satu daripada sasaran utama kelab pada musim panas ini.

"Dia adalah antara pemain tengah terbaik dalam memenangi bola di dunia dan mempunyai rekod cemerlang di peringkat kelab dan antarabangsa," katanya.

Manchester United turut menandatangani pemain tengah Mali berusia 18 tahun, Sekou Kone.

-- BERNAMA