MANCHESTER City membantah laporan mengenai pakej bernilai £433 juta (RM2.4 bilion) yang diusulkan demi memikat Lionel Messi ke Liga Perdana Inggeris (EPL).

Kontrak Messi di Barcelona akan tamat hujung musim ini selepas merancang meninggalkan Camp Nou pada Ogos tahun lalu.

Justeru, dia sering dikaitkan dengan City dan kembali bergandingan dengan Pep Guardiola memandangkan semakin tawar hati selepas Barca menderita satu lagi kekalahan memalukan dalam di Liga Juara-Juara (UCL) apabila dibelasah 1-4 oleh Paris Saint-Germain (PSG) minggu ini.

Semalam, The Sun melaporkan bahawa bintang Argentina itu telah ditawarkan kontrak selama lima tahun bernilai £606j (RM3.4b) daripada City sebelum tirai musim ini disingkap di sebalik tawaran berkenaan perlu disemak semula berikutan iklim kewangan tidak menentukan ekoran penularan COVID-19 selain pemenang enam Ballon d'Or itu akan mencecah usia 34 tahun pada Jun depan.

Bagaimanapun, jurucakap kelab Inggeris itu memberitahu Stats Perform bahawa tiada sebarang tawaran yang dibuat malah tiada perbincangan yang sedang dijalankan.

Sekiranya Messi menandatangani kontrak dengan The Cityzens, dia berkemungkinan besar akan bergabung dengan kelab gergasi yang dahagakan gelaran.


Pasukan bimbingan Guardiola itu melanjutkan prestasi kemenangannya kepada 17 perlawanan selepas menjinakkan Everton 3-1 pada pertengahan minggu ini, keputusan yang menyaksikan mereka mendahului puncak dengan 10 mata.

Pengurus Everton, Carlo Ancelotti, menganggap City mustahil untuk disaingi berikutan prestasi hebat yang ditampilkan dalam separuh masa kedua di Goodison Park yang menyaksikan serangan yang dijana Riyad Mahrez dan Bernardo Silva -- kedua-dua pemain lincah itu memainkan peranan di sebelah kanan yang menjadi posisi kegemaran Messi lalu menjadikan perkembangan ini semakin menarik. 

"Saya menghargainya, tetapi saya tidak setuju dengan pendapat Carlo, sama sekali saya tidak setuju," kata Guardiola menjelang kunjungan ke Arsenal, awal pagi Isnin ini.

"Kami boleh kalah, jika berdepan lawan yang bagus, kami perlu berusaha lebih baik daripada mereka dalam setiap perlawanan. Ini satu-satunya sasaran kami.

"Saya suka Carlo, dia adalah inspirasi yang luar biasa buat saya sebagai pengurus atas banyak faktor, tetapi kali ini saya tidak sependapat dengannya."

Ilkay Gundogan terpinggir ketika berdepan Everton selepas mengadu masalah pangkal paha, lantas Guardiola akan mmbuat penilaian lewat ke atas perancang Jerman itu yang dalam prestasi mantap menerusi sembilan gol Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak awal tahun ini.

Justeru, kehilangan Kevin De Bruyne yang dilanda kecederaan hamstring tidak begitu terasa.

Bintang Belgium itu kembali daripada bangku simpanan ketika berdepan Everton dan segalanya dilihat berjalan lancar, lantas hanya pertahanan, Nathan Ake, (hamstring) sebagai satu-satunya pemain senior yang tidak dapat disenaraikan.