Beliau berkata penyerang dari Brazil dan pemain sayap dari Indonesia itu masih belum pulih sepenuhnya akibat kecederaan selepas perlawanan persahabatan pramusim Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) 2024 baru-baru ini.
"Masih ada tempoh 48 jam untuk melihat secara keseluruhan tahap kecergasan mereka sebelum dapat diturunkan atau sebaliknya. Kita tidak akan mengambil risiko sebab perjalanan Liga Super baru bermula.
"Dalam masa sama, Sabah FC sedang mencorak taktikal lain untuk mengisi kekosongan tersebut sekiranya kedua-dua mereka tidak dapat diturunkan petang esok," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kim Swee berkata selain itu dua pemain tempatan iaitu pemain sayap S. Kumaahran dan penjaga gol Damien Lim juga berada dalam senarai kecederaan pasukan itu.
"Damien Lim sudah pasti terkeluar dan mungkin tidak dapat beraksi selama enam hingga lapan minggu. Kita akan lihat perkembangannya. Damien Lim memerlukan masa untuk mendapatkan semula tahap kecergasan," katanya.
Ketika mengulas mengenai persiapan Sabah menentang Penang FC, Kim Swee berkata ini bukan satu perlawanan yang mudah memandangkan Penang mempunyai jurulatih yang baharu serta beberapa pemain yang sangat berkualiti.
"Penang juga bersiap sedia dengan banyak menghadapi perlawanan persahabatan pramusim termasuk tiba dua hari lebih awal ke Kota Kinabalu.
"Ini menunjukkan Penang sangat serius dalam menghadapi saingan musim 2024/25.
"Sabah juga sudah bersiap sedia sepenuhnya dalam mengharungi kempen Liga Super ini selepas menjadi juara Piala SMJ 2024," kata Kim Swee.
Menurutnya, banyak kelemahan dan kekuatan dapat dilihat, oleh itu akan cuba memperbaiki beberapa kelemahan sedia ada sekali gus mampu mencapai keputusan positif pada perlawanan pertama petang esok.
"Sudah tentu, Sabah FC memerlukan sokongan padu penyokongnya...ayuh semua datang ke Stadium Likas esok," katanya.
-- BERNAMA