KEPULANGAN semula jurulatih, Muhammad Nidzam Adzha Yusoff, nyata membuahkan hasil apabila Kedah meraih kemenangan 4-0 ke atas Selangor dalam Liga Super di Stadium Darul Aman, malam ini.

Kedah membuka jaringan seawal minit keempat apabila Mohd Syazwan Zainon mudah merembat masuk hantaran bekas pemain Selangor, Andik Vermansyah, untuk menewaskan Norazlan Razali.

Selangor kemudiannya menguasai sebahagian besar permainan dalam masa separuh masa pertama, bagaimanapun, Kedah berjaya menutup ruang dengan baik bagi memastikan gawang mereka tidak dibolosi.

Pada hujung babak pertama, Selangor mendapat peluang apabila Mohd Amri Yahyah melakukan lambungan kepada Rufino Segovia del Burgo, namun malangnya pemain kelahiran Sepanyol itu dikawal ketat pertahanan lawan.

Pada minit terakhir menuju ke bilik persalinan, Sandro da Silva berjaya mengawal bola dengan baik untuk melepaskan diri daripada barisan pertahanan, sebelum tenang menyudahkan rembatan ke penjuru kanan bagi membawa pasukannya mendahului 2-0.

Sandro meledak gol ketiga buat Kedah selepas perlawanan bersambung dalam babak kedua sebelum Akram Mahinan menyempurnakan kemenangan bergaya ke atas Gergasi Merah.

Nidzam, yang sebelum ini pemangku ketua jurulatih Kedah, semalam diumumkan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) untuk menggantikan Ramon Marcote.

Marcote pula diberi tugas baru sebagai Ketua Jurulatih Pembangunan Bola Sepak KFA bagi membantu memberi nasihat demi pembangunan pasukan dan bola sepak negeri.

Keputusan lain:

MELAKA UNITED 0 TFC 3

Liga Perdana

FELCRA 3 PULAU PINANG 1