KUALA LUMPUR: Juara dunia Cheah Liek Hou merangkul gelaran pertamanya tahun ini selepas muncul juara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Sepanyol Tahap 1, di Toledo, malam ini.

Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 itu menewaskan Fang Jeng Yu dari Taiwan 21-7, 21-13 pada final yang berlangsung selama 27 minit.

Kejayaan itu mengubati kekecewaannya yang muncul naib juara Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Sepanyol Tahap 2 bulan lalu selepas kecundang di tangan musuh ketatnya dari Indonesia, Dheva Anrimusthi.

Sebagai rekod, Liek Hou mencipta sensasi selepas merampas semula gelaran juara perseorangan SU5 pada Kejohanan Para Badminton Dunia di Tokyo, Jepun, November tahun lepas.

Pencapaian itu menyaksikan atlet berusia 34 tahun itu meraih gelaran dunia ke-12 selepas muncul juara perseorangan kali ketujuh dan mengumpul lima kejuaraan bagi kategori beregu lelaki SU5.

-- BERNAMA